Berita Utama

Pejuang belum terima ‘lampu hijau’ sertai PN

Takkan jalin kerjasama dengan 'pencuri' wang rakyat

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 2 Muharam 1445H, Khamis – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menekankan prinsip kepimpinan untuk menjaga kebajikan rakyat serta penyatuan orang-orang Melayu adalah amat penting.

Atas dasar itu, Ketua Penerangannya, Muhammad Rafique Rashid Ali menegaskan, Pejuang tidak akan menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak atau parti politik yang terbabit dengan kleptokrasi, mencuri wang rakyat serta rasuah dan salah guna kuasa.

Ini kerana perkara itu jelas bahawa landasan untuk orang Melayu sudah diketepikan.

“Politik semata-mata demi kuasa untuk mengekalkan jawatan dan tidak masuk penjara kita tidak boleh terima.

“Tapi kalau dituduh di mahkamah dan belum didapati bersalah, ya kita akan sokong selagi mana tidak lari daripada prinsip kita.

“Itu adalah sempadan-sempadan untuk kita bina kerjasama politik,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat TV Pertiwi.

Pun begitu, beliau mengakui, kerjasama politik diperlukan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri – yang diadakan serentak pada 12 Ogos ini.

Katanya, mandat daripada rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jelas bahawa mereka mahu melihat satu gabungan yang kukuh dan mengandungi pelbagai pihak.

“Dan kita tampilkan gabungan kita sendiri iaitu Gerakan Tanah Air (GTA). Pejuang bersama gabungan tersebut tetapi jelas rakyat tidak menerima kita pada masa itu dan kita dengar signal mereka.

“Sebab itu kita cuba mencari gabungan-gabungan lain untuk meneruskan khidmat politik berkebajikan rakyat,” katanya.

Selain itu, Muhammad Rafique memaklumkan, setakat ini, Perikatan Nasional (PN) masih belum menerima permohonan Pejuang untuk menyertai atau bekerjasama dengan gabungan itu pada PRN akan datang.

“Belum ada hitam putih. Tetapi insya-Allah pada 22 Julai ini kita akan adakan satu taklimat khas Presiden. Kita akan buat keputusan berkenaan PRN dan kita akan maklumkan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button