Berita Utama

Undang-undang sanggah bukan Islam diadili di Mahkamah Syariah perlu dimansuh

Malaysia patut contohi Brunei, tambah baik peruntukan yang ada sekarang

BANGI, 9 Safar 1442H, Ahad – Sudah sampai masanya peruntukan bahawa Mahkamah Syariah berkuasa mendengar dan memutuskan perkara di mana kedua-dua pihak mesti beragama Islam diubah demi menjaga kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, Butiran 1 kepada Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan juga perlu dipinda bagi maksud itu.

Bahkan katanya, mana-mana undang-undang lain yang menyanggah orang bukan Islam daripada diadili di Mahkamah Syariah juga perlu dimansuhkan.

“Namun, meminda semua undang-undang di atas memerlukan kesatuan fikrah dan usaha umat Islam. Mengecilkan skop keadilan hanya kepada pihak beragama Islam sebenarnya bertentangan dengan prinsip keadilan Islam itu sendiri.

“Sejarah perundangan Islam telah membuktikan penghakiman Mahkamah Syariah tidak semestinya memihak kepada orang Islam. Banyak kes telah dilaporkan mengenai mahkamah Islam memberi penghakiman kepada orang bukan Islam, malah pemimpin Islam juga pernah dikalahkan oleh rakyat biasa bukan beragama Islam.

“Orang bukan Islam tidak perlu gusar kerana hal itu tidaklah bertujuan mengislamkan orang bukan Islam. Hanya dalam perkara-perkara tertentu seperti melibatkan orang Islam dan hukum syarak, permasalahan itu perlu ditadbir di mahkamah syariah,” katanya menulis di Sinar Harian hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa pelaksanaan kedua-dua pihak yang bertikai di Mahkamah Syariah tidak semestinya beragama Islam telah diamalkan di Brunei.

Katanya, negara itu adalah tamsil yang baik boleh diikuti kerana kerajaan Brunei menyuntik prinsip Islam dalam pentadbiran dan pada masa sama tidak menolak kemajuan.

“Begitu juga kontroversi bidang kuasa mahkamah sivil dan mahkamah syariah yang sering melanda Malaysia dapat diselesaikan dengan aman dan harmoni di Brunei.

“Hal itu dijelaskan umpamanya dalam hal ehwal undang-undang keluarga Brunei, Bab 5 Perintah Darurat (Undang-undang Keluarga Islam) 1999 yang menyatakan peruntukan Undang-undang Keluarga Islam terpakai dalam sebarang hal di mana sekurang-kurangnya satu pihak menganut agama Islam.

“… dan sekurang-kurangnya salah satu pihak sama ada atau tidak dia menganut agama Islam, bermukim atau bermastautin di negara itu tetapi bermukim di luar negara,” jelasnya.

Zainul Rijal berkata, rakyat bukan Islam di Brunei tidak membantah undang-undang itu kerana mereka tahu ia bukan bertujuan menukar kepercayaan agama mereka kepada Islam.

“Rahsia kejayaan Brunei wajar dikaji dan diikuti untuk diterima pakai supaya Malaysia dapat mempelajari dan menambah baik peruntukan yang ada sekarang ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button