Berita Utama

Aman Palestin Perak lancar kod QR, permudah sumbangan derma

Diperluas di beberapa lokasi seperti pusat beli-belah, medan selera

IPOH, 10 Safar 1442H, Isnin – Aman Palestin Perak melancarkan sistem kod respon pantas (QR) yang bertujuan memudahkan kutipan sumbangan bagi membantu rakyat Palestin dari sudut kebajikan dan hak kemanusiaan.

Pengerusinya, Ustaz Shaharuzzaman Bistamam berkata, pendekatan yang diguna pakai itu bukan sahaja sejajar dengan pembangunan era digital malah memudahkan orang ramai menyalurkan sumbangan tanpa perlu membuat pembayaran secara tunai.

“Aman Palestin tidak ketinggalan memperkenalkan kaedah sumbangan terkini menerusi sistem imbas kod QR bagi membolehkan penderma menyumbang mengikut amaun sendiri dengan menggunakan telefon bimbit.

“Usaha ini adalah cara paling efektif dengan memberi peluang kepada orang ramai untuk membuat amal dalam apa jua situasi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kod QR Tabung Palestin di Dataran Silveritage Medan Gopeng, di sini, hari ini, yang disempurnakan Timbalan Mufti Perak, Datuk Haji Zamri Hashim.

Beliau berkata, pendekatan yang digunakan itu dijangka dapat memenuhi sasaran kutipan sumbangan berjumlah RM3 juta menjelang akhir Disember 2020.

“Ia sasaran yang ditetapkan Aman Palestin Perak dan sehingga September ini kutipan sumbangan yang kita telah perolehi berjumlah lebih RM2 juta,” katanya.

Selain itu, katanya penggunaan pelekat kod QR berkenaan akan diperluaskan di beberapa lokasi tumpuan orang ramai terutama di pusat membeli-belah dan medan selera di seluruh negeri.

Sementara itu, Datuk Haji Zamri berkata, beliau menyarankan semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat untuk bersama dalam menghulurkan sumbangan bagi membantu rakyat Palestin.

Katanya, rakyat di negara itu terutama kanak-kanak amat mengharapkan bantuan khususnya melibatkan aspek pendidikan.

“Lebih 10,000 anak-anak Palestin tiada tempat belajar dan dana yang akan diterima diharap dapat membina sekolah dan pelbagai keperluan lain yang dirasakan sesuai. Jadi, saya fikir usaha Aman Palestin itu bertepatan pada masanya,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button