Berita Utama

Banyak lagi nama jalan Inggeris, kenapa nama Melayu juga dipilih?

Lama-lama luput sejarah Melayu di bumi sendiri: Zainul Rijal

BANGI, 10 Safar 1442H, Isnin – Datuk Zainul Rijal Abu Bakar menganggap tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menukar nama Jalan Raja Laut 1 kepada Jalan Palestin sebagai tidak wajar.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim (PPMM) itu berkata, jasa Penghulu Raja Laut sangat besar malah sejarahnya tidak boleh dipadam

“Saya bukan anti-Palestin malah saya sokong perjuangan Palestin.

“Tetapi menukar nama (Penghulu) Raja Laut 1 kepada Palestin bagi sebuah nama jalan adalah suatu kesilapan,” katanya.

Sabtu lalu, Jalan Raja Laut 1 secara rasmi ditukarkan kepada Jalan Palestin, sebagai simbol sokongan Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, cadangan untuk mewujudkan Jalan Palestin di Kuala Lumpur tercetus ketika Majlis Himpunan Hari Quds Sedunia yang diadakan di Dataran DBKL, pada Mei 2019.

Katanya, Kementerian Wilayah Persekutuan telah memohon kepada pihak DBKL untuk menamakan sebarang jalan di Kuala Lumpur sebagai Jalan Palestin.

“Proses untuk mengenal pasti jalan yang sesuai sebagai Jalan Palestin mengambil masa yang agak lama kerana perlu dibuat secara teliti dan perlu melalui prosedur-prosedur yang ditetapkan seperti mana penamaan jalan-jalan yang lain,” kata DBKL.

Zainul Rijal bagaimanapun hairan apabila nama Jalan Raja Laut 1 ditukarkan, sedangkan katanya banyak nama asing masih dikekalkan.

“Kenapa nama Melayu mahu dipadam sedangkan banyak nama asing masih dikekalkan sama ada nama jalan, nama tempat, bukit dan lain lain. Lama-lama luput sejarah Melayu di bumi sendiri,” katanya.

Jalan Raja Laut 1 terletak dalam kawasan Chow Kit yang mengambil nama sempena tokoh penting penubuhan Kuala Lumpur, Yang Teramat Mulia Raja Laut ibni Almarhum Sultan Muhammad Shah.

Baginda dilahirkan pada tahun 1850. Baginda mangkat pada tahun 1913 ketika menjadi Raja Muda Selangor.

Raja Muda Laut telah dilantik sebagai Raja Muda Selangor pada tahun 1898 oleh Paduka Sri Sultan Selangor ke-5 iaitu Sultan Ala’uddin Suleiman Shah.

Pada era tahun 1880-an, Raja Laut menjadi ketua orang Melayu di Kuala Lumpur.

Raja Laut menjadi ahli Majlis Negeri Selangor dan turut bertindak selaku hakim dan penghulu bagi menyelesaikan pertikaian yang berlaku di kalangan orang Melayu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button