Berita Utama

ISMA Gombak ziarah keluarga mangsa pemandu mabuk

Giat jayakan 'Kempen Komuniti Bebas Arak'

BANGI, 10 Safar 1442H, Isnin – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Gombak menziarahi keluarga pelajar Tingkatan Lima, yang maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta dipandu seorang pemandu mabuk, di Jalan Raja Laut.

Mangsa, Muhammad Hazeq Hakimi Romli, 17 meninggal dunia di lokasi kerana kecederaan parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner, Zulkefly Yahya berkata, pihaknya mendapati kandungan alkohol dalam darah pemandu kereta itu melebihi had yang dibenarkan.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, pemandu kereta berusia 36 tahun telah mengubah laluan secara melintang untuk masuk ke Lorong Tiong Nam, pada masa sama penunggang motosikal berkenaan dari arah Jalan Raja Laut gagal mengelak dan melanggar pintu depan kiri kereta jenis Perodua Myvi itu.

Susulan peningkatan kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk, ISMA cawangan Gombak giat menjayakan ‘Kempen Komuniti Bebas Arak’ di daerah itu.

Kempen yang dilancarkan 3 Ogos lalu membabitkan kerjasama dengan pihak berkuasa dan persatuan-persatuan setempat.

“Saban hari berlaku kemalangan dan kehilangan nyawa melibatkan pemandu mabuk. Selangor antara negeri tertinggi yang mencatatkan kes pemandu mabuk. Kami sedang menjayakan ‘Komuniti Kita Bebas Arak’ di daerah Gombak dengan kerjasama pihak berkuasa dan persatuan-persatuan setempat.

“Secara umumnya gerakan ini bertujuan untuk membantah penjualan arak di premis perniagaan dalam kawasan masyarakat setempat yang majoritinya orang Islam mengikut lunas undang-undang dan peraturan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, ISMA cawangan Gombak telah menghantar memo ‘Kempen Komuniti Kita Bebas Arak’ kepada 10 premis kedai serbaneka KK Mart dan 7-Eleven di kawasan itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button