Berita UtamaDunia

Chris Hipkins dijangka ganti Jacinda Ardern sebagai PM baharu New Zealand

Mesyuarat esok bakal sahkan pencalonan ketuai Parti Buruh

AUCKLAND, 28 Jamadilakhir 1444H, Sabtu – Chris Hipkins sedia menggantikan Jacinda Ardern sebagai Perdana Menteri New Zealand baharu selepas muncul sebagai satu-satunya wakil yang dicalonkan untuk mengetuai Parti Buruh.

Hipkins, 44, dijangka disahkan sebagai pemimpin baharu pada mesyuarat 64 Ahli Parlimen Buruh atau Kaukus pada Ahad.

“Parti Buruh akan bermesyuarat pada jam 1 petang esok untuk mengesahkan pencalonan dan mengesahkan Chris Hipkins sebagai Ketua Parti,” kata Ahli Kanan Parti Buruh, Duncan Webb dalam satu kenyataan.

Sebagai pemimpin Parti Buruh yang memerintah, beliau juga akan menjadi Perdana Menteri.

Pertama kali dipilih sebagai Ahli Parlimen untuk Parti Buruh pada 2008, Hipkins menjadi terkenal selepas dilantik sebagai Menteri Respons COVID-19 pada November 2020.

Beliau kini adalah menteri untuk polis, pendidikan dan perkhidmatan awam serta ketua Dewan.

Khamis lalu, Ardern, tokoh global untuk politik progresif mengejutkan New Zealand apabila mengumumkan peletakan jawatan secara mengejut, kurang tiga tahun selepas memperoleh kemenangan besar untuk penggal kedua dalam pilihan raya.

Wanita berusia 42 tahun yang mengetuai negara ketika melalui bencana alam, wabak COVID-19 dan serangan pengganas yang paling teruk berkata, beliau tidak lagi mempunyai ‘tenaga yang mencukupi’.

Beliau meletakkan jawatan tanpa menamakan pengganti yang jelas dan Parti Buruh yang memerintah kini berusaha untuk mencari pengganti. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button