Berita Utama

Janji parti pemerintah perlu di tunai, bukan sekadar gula-gula politik

Keputusan PRN Sabah bukti rakyat berhak tentu masa depan negara

BANGI, 10 Safar 1442H, Isnin – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah membuktikan rakyat mengetahui keinginan mereka serta berhak menentukan masa depan negara ini.

Walau apa jua agenda dan manifesto yang dirangka mana-mana parti politik, ia bukan lagi menjadi keutamaan dan kriteria pemilihan masa kini, Prof Datuk Dr Ismail Sualman.

Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, sebenarnya pengundi juga mempunyai agenda tersendiri, yang perlu diketahui oleh pemimpin parti politik.

“Isyarat yang jelas diberikan pengundi ialah rakyat menjadi penentu siapa atau parti mana yang layak memerintah. Semuanya ditentukan oleh tangan pengundi.

“Penggunaan media sosial merancakkan lagi kempen parti politik walaupun terhad dalam pergerakan,” katanya menulis di Sinar Harian hari ini.

Pada masa sama, Prof Ismail menyarankan bahawa kapasiti perkhidmatan internet perlu ditingkatkan di Sabah, terutamanya di kawasan luar bandar dan di pedalaman.

Beliau berkata, teknologi itu juga perlu menjadi keutamaan dalam pakej pembangunan, tambahan pula, keperluan pendigitalan masa kini memerlukan akses maya berkelajuan tinggi.

Katanya, kempen secara bersemuka dan penggunaan media sosial mempengaruhi rakyat dalam isu nasional dan setempat yang boleh diperoleh di hujung jari.

“Pengundi mengetahui apa story-telling dibawa calon dan parti politik.

“Isu nasional dan juga kempen bawaan ‘Semenanjung’ tidak dapat mengatasi isu Sabah itu sendiri.

“Dalam maksud lain rakyat Sabah tahu apa yang terbaik untuk mereka. Pengundi Sabah sudah cerdik dan tidak mudah ‘ditipu’ oleh mana-mana pihak lagi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau percaya sudah tiba masanya parti politik yang menang dalam PRN Sabah membuktikan bahawa setiap janji yang dikemukakan bukan hanya bersifat retorik semata-mata.

Katanya, janji yang dilakukan parti pemerintah juga bukan sekadar gula-gula politik.

“Apa yang dikata perlu dikotakan. Apa yang dijanji perlu diperinci. Rakyat Sabah bukan mudah lupa.

“Skrip dan manifesto serta janji yang diutarakan dalam ucapan baik perbualan masih segera dalam ingatan pengundi,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Sabah tidak mahu lagi didendang dengan janji yang tidak kunjung tiba dan bertandang.

Katanya, pengundi bukan umpama tabung uji dan alat digunakan mana-mana parti politik untuk meraih sokongan.

“Pengundi adalah golongan terpilih dalam pentas demokrasi yang cukup berharga,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button