Berita Utama

‘Jika PRN pun berebut jawatan KM, PRU-15 nanti apatah lagi’

Jika ada ADUN lompat parti selepas menang memang pengkianat

BANGI, 10 Safar 1442H, Isnin – Sekiranya terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat parti selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah untuk kepentingan peribadi dan habuan material – mereka ialah pengkhianat.

Begitu juga parti yang menukar sokongan kepada pakatan lain – mereka juga pengkhianat, kata pemerhati politik, Ir Lukman Al-Hakim Muhammad. 

Beliau berkata, tindakan lompat parti hanya akan menyebabkan PRN hilang makna, walhal rakyat Sabah telah bergadai nyawa keluar mengundi mengharungi risiko COVID-19 yang semakin memuncak di Negeri Bawah Bayu. 

“Kita mesti mempelajari sesuatu dari PRN Sabah kali ini. Salah satu ialah PRU-15 tidak akan menyelesaikan masalah kestabilan politik negara jika Ahli Parlimen terus berjuang demi survival politik masing-masing, bukannya untuk rakyat dan negara. 

“Sebagaimana berlaku perebutan jawatan Ketua Menteri Sabah, PRU-15 nanti juga pasti akan menyaksikan perebutan kuasa Perdana Menteri. 

“Bukankah elok jika kita serahkan kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik berlandaskan Perlembagaan Negeri/Persekutuan dan penilaian terbaik mereka,” katanya. 

Sabtu lalu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membabitkan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) berjaya memperoleh majoriti selepas meraih 38 daripada 73 kerusi DUN yang dipertandingkan.

WARISAN pula hanya memperoleh 23 kerusi DUN, DAP (6), PKR (2), UPKO (1) dan Bebas (3).

Mengucapkan tahniah atas kemenangan GRS, Ir Lukman Tahniah berkata, semua pihak harus berfikiran matang dan menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka. 

“Rakyat Sabah telah memilih dan memberikan mandat yang jelas terhadap pakatan yang dibentuk semasa kempen pilihan raya. 

“Justeru, pembentukan kerajaan negeri dan juga pemilihan Ketua Menteri – bidang kuasa TYT – hendaklah berasaskan mandat tersebut,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button