Berita Utama

Kenapa pertahan sekolah vernakular, walhal terbukti gagal bentuk semangat nasional

Lambat laun wujud generasi yang tak lagi hormat Perlembagaan

BANGI, 10 Safar 1442H, Isnin – Kegagalan meletakkan bahasa Melayu sebagai medium perpaduan, hanya akan merencatkan usaha ke arah pembinaan peradaban Malaysia sebagai negara berbilang kaum yang mempunyai semangat nasional.

Lebih malang lagi, apabila terdapat etnik yang memandang enteng kepentingan bahasa Melayu dan lebih mementingkan bahasa ibunda mereka.

Aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Alor Gajah, Ustaz Adam Badhrulhisham berkata, antara faktor yang menyumbang kepada fenomena ini ialah kekurangan suasana dan medium penggunaan bahasa Melayu.

“Bahasa utama yang digunakan di luar sekolah hanyalah bahasa ibunda masing-masing selain bahasa Inggeris. 

“Tambahan, sikap negatif yang ditunjukkan oleh sebahagian pelajar bukan Bumiputera terhadap bahasa Melayu mengeruhkan lagi keadaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap data yang diterbitkan satu kajian bertajuk ‘Tahap Penguasaan Kemahiran Bertutur Bahasa Melayu Dalam Kalangan Murid Bukan Penutur Natif’ (The Level of Proficiency of Malay Speaking Skills among Non-Native S) daripada Fakulti Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2018.

Menurut kajian itu, kira-kira 55.7 peratus pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Kuantan, Pahang tidak mampu bertutur bahasa Melayu dengan baik dan berkesan. 

Kajian yang sama juga menyatakan, sekali pun mereka lulus Ujian Pengetahuan Bahasa Melayu Sekolah Rendah (UPBM-SR), kebanyakan mereka hanya menggunakan ayat yang telah dihafal sebelumnya.

“Situasi yang membimbangkan ini lambat laun akan mewujudkan generasi yang tidak lagi menghormati Perlembagaan yang menjadi tiang seri negara Malaysia walaupun hal ini bukanlah perkara baharu,” katanya. 

Malah, lebih mengecewakan lagi, hal ini turut berlaku dalam golongan dewasa dan elit di kalangan pemimpin mahupun masyarakat sendiri.

Ramai yang mula mencabar status bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini, katanya.

“Ada yang mengajak rakyat memperlekeh pejuang bahasa Melayu kerana mereka dianggap sebagai golongan sempit, ada yang mempersoalkan penggunaan bahasa Melayu pada papan iklan dan papan tanda.

“Kemudian, akan berakhir dengan kemarahan sebahagian besar rakyat lantas mengganggu gugat keseimbangan masyarakat setempat,” katanya.

Ustaz Adam menegaskan, pemerintah perlu bertanya kepada diri sendiri apakah yang mahu dibentuk oleh mereka. 

“Adakah mereka mahu meneruskan fenomena yang mampu menggangu gugat stabiliti negara kita? Adakah mereka mahu melahirkan generasi yang semakin berani menghakis keluhuran Perlembagaan? 

“Apakah rasionalnya mempertahankan SJK yang terbukti gagal membentuk semangat nasional khususnya melalui medium bahasa?

“Adakah mereka masih lagi terperangkap dalam permainan politik usang dan jijik dan sanggup mengorbankan prinsip demi secebis undi? Tepuk dada tanyalah hati,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button