Berita Utama

Bantuan bakul makanan tak beri impak, perlu buka semula sektor ekonomi

Rakyat perlu jaminan, kini banyak syarikat gulung tikar dan pekerja hilang pendapatan

BANGI, 26 Zulhijjah 1442H, Khamis – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di seluruh negara sejak Mac tahun lalu menyaksikan satu demi satu perniagaan mula tumbang.

Bahkan, syarikat gergasi tidak terkecuali gulung tikar hingga menyebabkan ramai hilang pendapatan sekali gus mengakibatkan jumlah golongan M40 menurun dan B40 naik mendadak.

Langkah paling wajar bagi mengatasi masalah ini, kerajaan perlu membuka kembali sektor ekonomi dengan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat.

Ini kerana melihat suasana pandemik semasa, semua ekonomi dianggap perlu, kata Setiausaha Pemuda gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Iskandar Puteri, Muhammad Sulhi Md Nazir.

Beliau berpandangan dengan tindakan itu, sekurang-kurangnya rakyat boleh bernafas kembali seperti biasa malah apabila ekonomi bertambah rancak, kerajaan akan mendapat kembali pendapatan stabil.

“Bantuan bakul makanan tidak memberi impak untuk jangka panjang. Rakyat perlukan jaminan pekerjaan demi kelangsungan hidup. Pakej rangsangan seperti bantuan wang tunai mesti ditambah khususnya mereka dibuang kerja atau gaji dipotong.

“Ia serampang dua mata kerana bantuan tambahan ini dapat mengurangkan kes pengangguran, manakala perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga dapat dibantu,” katanya menulis di Berita Harian.

Pada masa sama, beliau menggesa kerajaan mempercepatkan sebarang bayaran kepada syarikat berurusan dengannya.

“Semua jabatan, agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mana-mana pihak terbabit, perlu mempercepatkan bayaran.

“Ada berbulan-bulan tidak dapat bayaran. Setiap bulan, PKS ada komitmen perlu dilangsaikan termasuk gaji pekerja, bayaran kepada pembekal, bil utiliti dan kos menyelenggara kenderaan pengangkutan. Apabila bayaran dipercepatkan, ia sangat membantu dalam melancarkan perjalanan PKS,” katanya.

Selain itu, bagi individu yang masih mempunyai pendapatan stabil dan perniagaan masih rancak, Sulhi menyarankan mereka untuk bersama-sama membantu sektor ekonomi PKS.

Ini secara tidak langsung dapat menggerakkan ekonomi kembali dan lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan.

“Kerajaan juga perlu fokus terhadap mana-mana syarikat PKS berdaya maju dan berpotensi jauh untuk dikembangkan hingga dapat mengembangkan produk ke luar negara.

“Selain bantuan modal kewangan, kerajaan juga boleh membantu dari segi dokumentasi (ramai usahawan terkandas kerana kurang pengalaman) dan bantuan pemasaran sesuai dengan syarikat berkenaan.

“Banyak syarikat PKS kita berpotensi untuk pergi jauh. Jika tiada bantuan sewajarnya dan sokongan padu daripada masyarakat, pasti kita tidak akan berkembang jauh, sekali gus merugikan kita pada masa akan datang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button