Dunia

Krisis Rohingya makin meruncing, dunia digesa ambil peranan

Bangladesh lindungi 1.1 juta rakyat Myanmar dipindah secara paksa

DHAKA, 10 Safar 1442H, Isnin – Bangladesh mengulangi gesaannya supaya masyarakat global terus aktif membantu menyelesaikan isu etnik Rohingya dan krisis yang berlaku di sempadan negara itu – yang menjadi kem penempatan kepada hampir sejuta pelarian.

Perkara itu dibangkitkan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina ketika bercakap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), yang diadakan secara atas talian Sabtu lalu. 

“Lebih tiga tahun sudah berlalu tetapi tiada seorang pun Rohingya dapat dipulangkan. Krisis Rohingya diciptakan oleh (jiran) Myanmar dan penyelesaiannya terletak kepada negara itu.

“Bangladesh mengalami pengalaman menyakitkan daripada isu pembunuhan beramai-ramai, penganiayaan, perjuangan kemerdekaan, dan pengalaman itu memotivasi Bangladesh untuk memberikan perlindungan kepada lebih 1.1 juta rakyat Myanmar yang dipindahkan secara paksa di sempadan,” katanya.

Kenyataan Hasina itu sebagai merujuk insiden sejuta pelarian Rohingya yang melintasi sempadan bermula Ogos 2017, kerana melarikan diri daripada kempen pembunuhan beramai-ramai di negeri Rakhine. 

Beliau mendesak masyarakat dunia mengambil peranan yang lebih efektif untuk mencari jalan penyelesaian terhadap krisis Rohingya.

“Bangladesh sebagai negara yang cintakan keamanan, menekankan sumbangannya kepada misi pengaman PBB.

“Untuk kali keenam, Bangladesh adalah negara yang menyediakan pasukan pendamai paling ramai untuk misi PBB,” katanya.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button