Berita Utama

Patutnya tukar nama jalan Inggeris lain kepada Jalan Palestin

Tindakan DBKL tenggelamkan nama Raja Laut 1 sebagai tokoh Melayu

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 10 Safar 1442H, Isnin – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menuntut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memasyhurkan semula Jalan Raja Laut 1 dan menukar nama jalan Inggeris lain kepada Jalan Palestin.

Timbalan Presiden ISMA, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, meskipun pemasyhuran Jalan Palestin disokong, tindakan DBKL menenggelamkan nama Raja Laut sebagai tokoh Melayu juga dikesalkan.

“Permasyhuran nama Jalan Palestin sebagai satu lambang sokongan rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin adalah satu langkah baik yang dinantikan semua orang Islam di Malaysia.

“Cuma yang mungkin menjadikan ramai orang Melayu terkilan adalah kerana di dalam usaha menaikkan nama Palestin, pihak berwajib telah menenggelamkan nama tokoh Melayu iaitu Raja Laut,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sabtu lalu, Jalan Raja Laut 1 secara rasmi ditukarkan kepada Jalan Palestin, sebagai simbol sokongan Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, cadangan untuk mewujudkan Jalan Palestin di Kuala Lumpur tercetus ketika Majlis Himpunan Hari Quds Sedunia yang diadakan di Dataran DBKL, pada Mei 2019.

Katanya, Kementerian Wilayah Persekutuan telah memohon kepada pihak DBKL untuk menamakan sebarang jalan di Kuala Lumpur sebagai Jalan Palestin.

“Proses untuk mengenal pasti jalan yang sesuai sebagai Jalan Palestin mengambil masa yang agak lama kerana perlu dibuat secara teliti dan perlu melalui prosedur-prosedur yang ditetapkan seperti mana penamaan jalan-jalan yang lain,” kata DBKL.

Menyifatkan tindakan itu sebagai tidak cermat, Ustaz Muhammad Fauzi berkata, pemilihan Jalan Raja Laut 1 itu menunjukkan pihak berwajib tidak peka dengan sejarah tanah air atau mungkin ia rancangan halus yang disengajakan.

“Ada lagi baki beberapa jalan di Kuala Lumpur yang masih mengekalkan nama Inggeris seperti Jalan Conlay, Jalan Stonor dan sebagainya yang sepatutnya dijadikan pilihan utama untuk dimasyhurkan sebagai Jalan Palestin.

“Kita menuntut dari pihak berwajib agar membetulkan keadaan dengan segera, sama ada dengan memasyhurkan semula nama Jalan Raja Laut 1 dan menukar nama jalan dengan nama Inggeris kepada Jalan Palestin,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button