Berita Utama

Pemandu mabuk: Lebih baik tak pinda akta jika tiada hukuman mati

Yang jadi mangsa orang Islam, pemandu mabuk, sihat dan tenang

BANGI, 10 Safar 1442H, Isnin – Lebih baik tidak bentang usul pindaan Akta 333, sekiranya tiada hukuman mati dikenakan ke atas pemandu mabuk yang mengakibatkan kematian.

Perkara itu ditegaskan Naib Presiden Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Cikgu Izzat Johari kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau kesal kerana kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk masih berlaku, bahkan meragut nyawa orang Islam dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini.

“Mangsanya orang Islam! Pemandu mabuk, sihat, ceria dan tenang.

“Kepada Menteri Pengangkutan, tunggu Parlimen buka nanti jika tiada hukuman mati kepada pemandu mabuk yang mengakibatkan kematian, lebih baik tak payah bentang usul,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Minggu lalu, seorang pelajar Tingkatan Lima maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta dipandu seorang pemandu mabuk, di Jalan Raja Laut.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner, Zulkefly Yahya berkata, pihaknya mendapati kandungan alkohol dalam darah pemandu kereta itu melebihi had yang dibenarkan.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, pemandu kereta berusia 36 tahun telah mengubah laluan secara melintang untuk masuk ke Lorong Tiong Nam, pada masa sama penunggang motosikal berkenaan dari arah Jalan Raja Laut gagal mengelak dan melanggar pintu depan kiri kereta jenis Perodua Myvi itu.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kerana kecederaan parah di kepala.

Manakala semalam, seorang jurutera maut manakala isteri dan dua anak selamat dalam kemalangan yang membabitkan dua buah kereta di Persiaran Tun Teja, dekat Alam Impian, Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, kemalangan berlaku apabila kereta Proton Perdana yang dipandu seorang lelaki dari arah Persiaran Panglima Sultan hilang kawalan dan terbabas seterusnya melanggar kereta mangsa dari arah Plaza Tol Alam Impian.

Beliau berkata, sampel darah lelaki berkenaan sudah diambil dan polis kini masih menunggu keputusan sama ada pemandu itu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Sebelum ini, kerajaan mencadangkan untuk menaikkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda maksimum RM150,000 dalam kes membabitkan pemandu mabuk.

Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Manakala bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 dan penjara maksimum 10 tahun.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button