Berita Utama

Syor tukar jalan nama penjajah

Kenal pasti nama jalan tokoh terbabit aktiviti tak bermoral, kongsi gelap

BANGI, 10 Safar 1442H, Isnin – Alangkah lebih baik jika Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memilih jalan yang nama asalnya penjajah untuk ditukar kepada nama Palestin, kata Setiausaha Agung Pemuda ISMA, Eqwan Roslan. 

“Jika terdapat cadangan untuk menukar nama jalan, cari dahulu jalan dengan nama penjajah.

“… atau nama-nama ‘tokoh’ sejarah yang dikenal pasti terlibat dengan perniagaan atau aktiviti tidak bermoral seperti kongsi gelap,” katanya.

Sabtu lalu, Jalan Raja Laut 1 secara rasmi ditukarkan kepada Jalan Palestin, sebagai simbol sokongan Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, cadangan untuk mewujudkan Jalan Palestin di Kuala Lumpur tercetus ketika Majlis Himpunan Hari Quds Sedunia yang diadakan di Dataran DBKL, pada Mei 2019.

Katanya, Kementerian Wilayah Persekutuan telah memohon kepada pihak DBKL untuk menamakan sebarang jalan di Kuala Lumpur sebagai Jalan Palestin.

“Proses untuk mengenal pasti jalan yang sesuai sebagai Jalan Palestin mengambil masa yang agak lama kerana perlu dibuat secara teliti dan perlu melalui prosedur-prosedur yang ditetapkan seperti mana penamaan jalan-jalan yang lain,” kata DBKL.

Eqwan bagaimanapun mengakui pertukaran nama Jalan Raja Laut 1 kepada Jalan Palestin sememangnya tidak menghapuskan penghargaan kepada Raja Laut.

Ini kerana, Jalan Raja Laut 1 adalah lorong yang berbeza dengan Jalan Raja Laut yang menempatkan bangunan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Beliau tidak bersetuju sekiranya penukaran tersebut dianggap sebagai elemen penjajahan – mirip dengan tempat-tempat seperti Tanjung Penaga (Georgetown), Bagan (Butterworth) dan Bukit Melaka (Bukit St Paul).

“Perlu dibezakan situasinya, tempat-tempat tersebut telah ada nama Melayu dan penjajah memberikan nama baharu, bukan orang Melayu yang beri nama dan bukan keputusan orang Melayu.

“Berbeza dengan Jalan Palestin, orang Melayu sendiri membuat keputusan, tanpa paksaan penjajah, untuk menukar salah satu nama jalan.

“…di mana nama jalan tersebut wujud di tempat lain (Jalan Raja Laut), sebagai tanda penghargaan persahabatan dan solidariti dengan Palestin,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button