Berita Utama

Yang Dipertua Negeri Sabah setuju lantik Hajiji Ketua Menteri

Istiadat Angkat Sumpah esok di Dewan Istiadat Istana Negeri

KOTA KINABALU, 10 Safar 1442H, Isnin – Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin hari ini bersetuju, melantik Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

“Saya ucap tahniah kepada Datuk Hajiji dan saya persetujui sebagai Ketua Menteri yang baharu, untuk mengangkat sumpah pada esok hari,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan surat jemputan Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Ketua Menteri Sabah Ke-16 kepada Hajiji, di Istana Negeri di sini.

Sejurus selesai penyampaian surat jemputan itu, Hajiji turut menghadiri raptai Istiadat Angkat Sumpah yang dijadual berlangsung di Dewan Istiadat Istana Negeri, pada pukul 10 pagi, esok.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini sebulat suara menamakan Hajiji, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sulaman, sebagai calon Ketua Menteri Sabah yang baharu.

GRS memperoleh majoriti mudah untuk mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri daripada Parti Warisan Sabah (Warisan), pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 apabila memperoleh 38 daripada keseluruhan 73 kerusi DUN negeri ini.

Sementara itu ketika ditemui pemberita selepas penerimaan surat itu, Hajiji berkata beliau akan menunaikan tanggungjawab sebaik mungkin, bagi memenuhi mandat yang diterima daripada rakyat Sabah.

“Terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun (Juhar) kerana beliau telah menjemput saya untuk menerima surat pelantikan sebagai Ketua Menteri Negeri Sabah…esok saya telah dimaklumkan saya (angkat sumpah) dan timbalan-timbalan ketua menteri dahulu,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button