DuniaIstimewa

AS rancang serang China di Laut China Selatan?

Provokatif tentera AS papar peta negara China berwarna merah

GENEVA, 11 Safar 1442H, Selasa – Amerika Syarikat (AS) dilaporkan menjalani latihan simulasi serangan ke atas sebuah pulau, yang didakwa media China sebagai isyarat provokatif.

Difahamkan, latihan yang dijalankan pada Selasa di California itu, mengundang amaran dari China sekiranya AS menyerang Laut China Selatan. 

Menurut laporan majalah Angkatan Udara yang berpangkalan di AS, latihan yang bermula sejak 3 September itu menunjukkan Angkatan Udara AS lebih memberi tumpuan pada wilayah Pasifik.

Tulisan pada pakaian yang dipakai untuk latihan itu menampilkan drone MQ-9 Reaper yang mempunyai bayang merah peta negara China, kata laporan itu.

MQ-9 Reaper telah digunakan dalam perang di Timur Tengah dan Afrika selama dua dekad, tetapi Angkatan Udara AS mempertimbangkan untuk menggantikannya kerana bimbang kemampuan, kelajuan dan perlindungan elektroniknya ketinggalan berbanding drone yang dihasilkan China serta Russia.

Walaupun latihan itu dijalankan jauh dari pantai China, media kerajaan negara itu memberi amaran drone mungkin digunakan bagi menyerang fasiliti miliki China di Laut China Selatan. 

“Washington meningkatkan persiapan perang melawan China, pesawat yang digunakan dalam siri pembunuhan serta serangan lain di seluruh dunia juga berperanan di dalamnya.

“Ini adalah isyarat strategik yang dihantar dari latihan ini,” lapor Global Times, semalam. 

Ogos lalu, pesara Tentera Laut, Wang Yunfei mendakwa AS berkemungkinan melancarkan serangan terumbu yang dikendalikan oleh China di Laut China Selatan, demi meningkatkan pengaruh politik Presiden Donald Trump. 

Yunfei mendakwa, serangan AS mungkin menyasarkan Scarborough Shoal, yang dikenali di China sebagai Pulau Huangyan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button