Berita Utama

COVID-19: Jika tidak waspada, risiko gelombang ke-2 sangat tinggi

Perketatkan kemasukan masuk ke Sabah untuk urusan penting saja

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 11 Safar 1442H, Selasa – Risiko Malaysia berdepan gelombang kedua penularan wabak COVID-19 sangat tinggi, memandangkan kes jangkitan terus meningkat kepada tiga angka dengan kluster baharu di Sabah.

Pengerusi Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Kuala Lumpur, Dr Ahmad Muslim Ahmad Roslan berkata, peningkatan kes sejak 7 September  dengan lonjakan kepada dua digit adalah membimbangkan.

Malah, peningkatan sehingga tiga angka sejak beberapa hari lalu juga menunjukkan kewaspadaan perlu diperketatkan semula, katanya.

“Pada awal September, KKM melaporkan nilai kadar kebolehjangkitan COVID-19 (R naught) di Malaysia adalah 1.72 berbanding 0.72 sebelum ini.

“Sudah pasti RO sudah melebihi 2 ketika ini. Namun, kita lihat kes banyak tertumpu pada kawasan-kawasan tertentu,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Justeru, beliau berpandangan bahawa tiada keperluan untuk kerajaan atau Majlis Keselamatan Negara (MKN) menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

“Jadi, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) sesuai dijalankan di kawasan-kawasan zon merah.

“Kes masih berkelompok, jadi PKPDB sepatutnya dibuat di Sabah lebih awal, bukan selepas PRN. Jika dikuat kuasa PKP seluruh negara, ia akan memberi kesan lain terutama ekonomi,” katanya.

Setakat semalam, sebanyak 115 kes jangkitan baharu dilaporkan, di mana 98 kes adalah di Sabah, 11 kes di Selangor dan Terengganu serta Kedah masing-masing satu kes.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), 11 daripada kes tempatan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

Memandangkan kebanyakan kawasan di Sabah adalah zon merah dan kuning, Dr Ahmad Muslim menggesa supaya mereka yang pulang ke Semenanjung dikuarantin terlebih dahulu.

“Kemasukan ke Sabah juga perlu diperketatkan bagi urusan yang diperlukan sahaja. 

“Tangguhkan segala majlis atau perkumpulan besar di Sabah bagi mengurangkan jangkitan meluas,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button