Berita Utama

Kerajaan negeri peruntuk RM1.2 bilion baiki jalan di utara Sarawak

ADUN akui jalan di luar bandar berada dalam keadaan sangat buruk

KUCHING, 11 Safar 1442H, Selasa – Sebanyak RM1.2 bilion akan diperuntukkan untuk memperbaiki jalan raya di utara Sarawak yang sering berlumpur terutama ketika hujan.

Timbalan Speaker Sarawak, Datuk Gerawat Gala berkata, wang itu akan datang daripada kerajaan negeri.

Beliau mengakui bahawa memang benar jalan luar bandar di Sarawak, seperti jalan di daerah terpencil Baram dalam keadaan sangat buruk.

“Ya, kami mengakui bahawa jalan luar bandar kami berada dalam keadaan yang sangat buruk. Ia merosot dari tahun ke tahun, dan setiap kali hujan, sebilangan besar penduduk luar bandar tidak dapat keluar.

“Selalunya, jalan di luar bandar ini menjadi berlumpur setelah hujan berpanjangan. Kerajaan negeri akan memperuntukkan RM1.2 bilion hanya untuk memperbaiki jalan-jalan luar bandar di utara Sarawak,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu itu seperti dilapor The Star berkata, peruntukan sebanyak RM1.2 bilion itu akan dikendalikan oleh Highland Development Authority (HDA).

HDA adalah agensi di bawah unit perancangan negeri.

Ketika ditanya pihak media mengapa masalah jalan raya di luar bandar di Sarawak tidak ditangani dengan baik selama ini, Gerawat mengatakan bahawa kebanyakannya terletak di kawasan pembalakan.

“Jalan-jalan luar bandar di wilayah-wilayah konsesi kayu sebenarnya berada di bawah bidang kuasa syarikat kayu. Mereka seharusnya memperbaiki dan menyelenggara jalan-jalan ini di bawah kontrak pembalakan yang mereka tandatangani dengan kerajaan negeri.

“Namun, syarikat pembalakan telah memindahkan operasi mereka ke kawasan yang lebih dalam, dan jalan di kawasan yang mereka tinggalkan akhirnya diabaikan,” katanya.

Justeru, Gerawat berkata, pemerintah negeri serius dalam menangani masalah jalan raya yang dihadapi oleh kira-kira sejuta penduduk luar bandar di seluruh Sarawak.

Di kawasannya, jalan luar bandar adalah penghubung komunikasi utama bagi puluhan ribu orang, katanya.

Mulu terletak kira-kira 200km ke daratan dari Miri.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button