Berita Utama

Lebih RM1 juta diagih kepada frontliner, asnaf

Yayasan Ikhlas ajak orang ramai salurkan sumbangan, ringankan beban

BANGI, 11 Safar 1442H, Selasa – Yayasan Ikhlas, sebuah pertubuhan peduli dan prihatin telah menyalurkan sebanyak RM1,895,291.08 untuk Bantuan Bencana COVID-19.

Pengerusinya, Datuk Mohd Rosli Ramli berkata, bantuan yang disampaikan sejak 24 Mac lalu hingga hari ini, ditumpukan kepada petugas barisan hadapan dan juga golongan asnaf. 

Katanya, bantuan untuk asnaf disalurkan hingga 12 Mei, manakala bagi petugas barisan hadapan ia diteruskan sehingga ke hari ini.

“Dana yang kita salurkan datang daripada sumbangan orang ramai dan korporat. Bantuan untuk frontliners kita akan teruskan lagi memandangkan jumlah kes COVID-19 masih meningkat dan tiada tanda positif. 

“Kemungkinan ini akan berterusan sehingga pertengahan tahun 2021 adalah tinggi,” katanya.

Beliau berkata, sejumlah RM 831,086.67 disumbangkan kepada keluarga miskin bermula tempoh Fasa 1 sehingga Fasa 4.

Kira-kira 4,630 keluarga miskin menerima bantuan berbentuk bantuan makanan asas dan wang tunai.

Manakala, sejumlah RM 1,064,204.42 disumbangkan untuk para petugas barisan hadapan. 

Sebelum ini, sebanyak 12,500 set PPE telah diserahkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, 5,000 set PPE kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, 7,248 set PPE kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

“Lebih dari 80,000 sarung tangan, 40,000 pelitup muka, cecair pembasmi kuman, apron, pengimbas suhu dan keperluan kepada hospital dan pejabat kesihatan daerah.

“Yayasan Ikhlas menyeru kepada rakyat Malaysia untuk bersama-sama bersatu hati untuk menjayakan usaha ini. Setiap sumbangan anda layak mendapat resit pengecualian cukai,” katanya.

Orang ramai yang berminat untuk menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Yayasan Ikhlas di talian 012-9790211 (Saudara Syafiq) atau 03-8926 5954 (Pejabat). 

Selain itu, sumbangan juga boleh disalurkan ke akaun Yayasan Ikhlas (Maybank 5628 3463 6228) atau klik https://app.senangpay.my/pay/frontlinerscovid19yi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button