Berita Utama

LGBT: Vokalis The 1975 biadab hina undang-undang negara

Kerajaan dari awal lagi patut batal konsert pendukung budaya songsang

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 4 Muharam 1445H, Sabtu – Pengguna media sosial mendesak Kerajaan Madani membatalkan penganjuran konsert artis luar negara yang mendukung perjuangan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Desakan itu disuarakan susulan persembahan kumpulan The 1975 di Good Vibes Festival 2023 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, malam tadi.

Pada konsert itu, vokalisnya, Matty Healy menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan dan biadab ketika melakukan persembahan.

Dia didakwa memegang botol arak ketika di atas pentas selain meludah dan melakukan aksi kurang sopan.

Matty turut membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan LGBT sebelum bertindak mencium pemain bass The 1975, Ross Mcdonalds di atas pentas.

“Saya tak nampak alasan kenapa mengajak kami The 1975 ke negara ini dan memberitahu dengan siapa kami patut melakukan hubungan seks,” katanya.

Bagaimanapun, ketika dipertengahan persembahan, pentas tiba-tiba bertukar gelap sebelum Matty yang dalam keadaan marah memaklumkan mereka telah disekat daripada meneruskan konsert di Malaysia.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyifatkan aksi vokalis itu adalah satu tindakan yang biadab.

“Saya telah panggil penganjur untuk beri penjelasan esok, dan akan berhubung dengan pihak berkuasa untuk dapatkan laporan penuh,” katanya.

Bagaimanapun, warganet berpendapat kenyataan kecaman yang dikemukakan kerajaan sudah tidak berguna kerana pihak berkenaan telah menyampaikan mesej mereka.

“Selepas ini apa pula? Coldplay? Takkan kita nak tunggu sahaja bala dan bahana dari konsert-konsert aktivis songsang ini bawa baru nak melenting!

“Kalaulah kerajaan betul serius menentang agenda ini, batalkan setiap konsert dan artis yang mendukung perjuangan songsang ini. Tapi realitinya hari ini tak berlaku,” kata Ahmad Syakir Norazli.

Sementara itu, Mohd Fadzil menggesa kumpulan The 1975 serta penganjur dikenakan tindakan tegas susulan insiden itu.

“Sepatutnya The 1975 ditangkap dan dibicarakan berdasarkan undang-undang Malaysia. Jangan lepaskan mereka begitu sahaja malah syarikat yang menganjurkan konsert ini perlu bertanggungjawab,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button