Berita Utama

Pemandu mabuk: Sampai bila? Haramkan segera penjualan arak!

Berapa ramai lagi wanita, anak-anak perlu derita akibat pemabuk?

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 11 Safar 1442H, Selasa – Penjualan minuman keras serta kebenaran meminumnya sepatutnya diharamkan sama sekali di negara ini, tegas Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Dr Suriani Sudi. 

Beliau berkata, undang-undang juga perlu diperketatkan agar masyarakat tidak terlalu mudah untuk mempunyai akses kepada perkara yang memudaratkan diri sendiri dan orang lain itu.

Beliau turut meluahkan rasa kesal apabila saban hari terdapat kes orang yang tidak bersalah terkorban akibat sikap mementingkan diri pemabuk.

Ini terutama sekali, katanya, apabila mangsa terkorban meninggalkan balu dan anak-anak tersayang. 

“Berapa ramai lagi wanita perlu menderita, anak-anak yang diasuh bertahun-tahun sejak kecil mati begitu sahaja dilanggar mati oleh pemandu mabuk. 

“Suami yang dihormati yang menjadi tunggak kekuatan keluarga pergi begitu sahaja dilanggar mati oleh pemandu mabuk. Sampai bila?,” soalnya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Mengulas lanjut, Dr Suriani menegaskan, mana-mana agama mahupun bangsa di dalam negara ini sepatutnya bersatu dalam isu berkenaan. 

Sehubungan itu, beliau menyeru persatuan-persatuan wanita bergabung dan bersatu dalam mendesak hukuman keras ke atas pemandu mabuk serta undang-undang penjualan arak kerana ia terbukti membawa banyak masalah kepada masyarakat. 

“Selain mengancam nyawa kita sendiri sebagai pengguna jalan raya, nyawa suami dan anak-anak kita juga turut berada dalam risiko yang besar. 

“Bukan setakat itu, orang mabuk inilah juga yang balik akan pukul anak isteri, yang curang dengan betina lain.

“Semua atas alasan ‘mabuk’, ia bukan sekadar membahayakan nyawa, malah juga menyumbang kepada keruntuhan institusi keluarga dan masyarakat di Malaysia,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button