Berita Utama

Rebut kuasa buatkan pemimpin Melayu terus dipatuk MCA

Pemimpin Melayu perlu ada agenda kuat martabat agama, bangsa

BANGI, 11 Safar 1442H, Selasa – Pemimpin politik Melayu mesti mempunyai agenda yang kuat untuk memartabatkan masa depan agama, bangsa dan negara, selain menjauhkan diri daripada kepentingan peribadi serta kelompok parti sendiri.

Meskipun 85 peratus Ahli Parlimen Melayu berada dalam Kabinet sekarang – di bawah Perikatan Nasional (PN) – perebutan kuasa politik sesama sendiri dan asingnya agenda memartabatkan bangsa menyebabkan puak cauvinis MCA mengambil kesempatan.

Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin mendakwa, atas faktor itu, MCA mengambil kesempatan meraih pelbagai kepentingan untuk bangsa mereka, khususnya dalam pendidikan vernakular.

“Tidak dinafikan banyak inisiatif kebajikan kepada rakyat terutama ketika bencana pandemik COVID-19, tetapi perjuangan rakyat marhaen ini tidak berakhir dengan pemberian dan perjuangan yang sementara.

“Sebagai rakyat prihatin yang ingin memberikan pandangan penambahbaikan, dengarlah dengan sebaik mungkin demi masa depan agama, bangsa dan negara. 

“Usah dibiarkan dipatuk ular berkali-kali. Jangan hanya datang kepada rakyat hanya untuk menagih undi dan kepentingan politik kepartian semata-mata,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, aktivis NGO Islam berjuang untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara pernah ditohmah sebagai ‘macai’ dan perjuangan assobiyah, hanya kerana mengingatkan rakyat menolak agenda liberal serta cauvinis yang didukung DAP.

“Adakah mereka ada kepentingan untuk mendapat tempat di pentas politik, mahupun habuan posisi dalam kerajaan? Ia tidak sekali-kali.

“Kebenaran slogan ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’ semakin jelas dirasai di sepanjang pemerintahan Pakatan Harapan selama 22 bulan, yang menyaksikan dominasi agenda liberal dan tekanan terhadap agenda Melayu, Islam.

“Rapat umum anti-ICERD 8 Disember 2018 adalah di antara kemuncak kepada kebangkitan ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button