Berita Utama

Tak tamakkan kuasa, sikap Jeffrey Kitingan wajar dicontohi

Kuasa bukan jadi matlamat, apa penting adalah perjuangan

BANGI, 11 Safar 1442H, Selasa – Tindakan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan meletakkan jawatan dalam Kerajaan Persekutuan berikutan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah, wajar dicontohi.

Pemerhati politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah memuji tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan itu, dan menyifatkan beliau pemimpin yang tidak tamakkan kuasa.

Jeffrey, 72, meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya hari ini, berikutan pelantikannya sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah dalam Kabinet baharu kerajaan negeri itu.

“Tindakan ini menunjukkan beliau tidak tamak kuasa. Kuasa bukan menjadi matlamatnya. Apa yang penting adalah perjuangan.

“Lagi satu, mungkin beliau mahu lebih fokus tugas dan urusan negeri yang jauh lebih penting, sebagaimana yang pernah dilakukan oleh abangnya ketika menjadi Ketua Menteri suatu ketika dahulu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jeffrey antara enam pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mengangkat sumpah jawatan masing-masing dalam Kabinet negeri di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Keningau adalah satu-satunya calon mewakili Perikatan Nasional (PN), yang mempunyai jawatan dalam Kabinet Persekutuan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu lalu.

Mengulas lanjut, Prof Mohd Ridhuan Tee berkata, sudah sampai masanya untuk rakyat mencontohi sikap pemimpin seperti Jeffrey.

“Kita terus berebut kuasa. Kuasa menjadi matlamat sehingga hal-hal berkaitan agama dan anak bangsa terkebelakang.

“Paling ditakuti, kita terus lemah dan lemah. Kuasa menjadi matlamat bukan alat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button