Berita Utama

COVID-19: Jabatan Kesihatan Johor sahkan penutupan beberapa sekolah

Terdapat keperluan kenal pasti kontak rapat bagi tujuan pengasingan

BANGI, 22 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Jabatan Kesihatan Negeri Johor mengesahkan bahawa beberapa sekolah di sekitar negeri itu telah diarahkan penutupan ekoran pelaporan kes positif COVID-19.

Pengesahan itu dibuat Pengarah Jabatan Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu sebagai merujuk laporan berita portal Malaysiakini bertarikh 24 Januari bertajuk ‘Beberapa sekolah di Johor ditutup seminggu’.

Beliau berkata, maklumat lanjut mengenai sekolah terbabit boleh didapati daripada Pejabat Pendidikan Daerah masing-masing.

“Jabatan Kesihatan Negeri Johor ingin memaklumkan bahawa penutupan sekolah terbabit telah dibuat di bawah Akta 342 bagi mengekang penularan COVID-19.

“Penutupan ini bertujuan untuk pelaksanaan kerja-kerja siasatan dan kawalan COVID-19 oleh Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Aman berkata, terdapat keperluan untuk kontak rapat dikenal pasti dengan segera bagi tujuan arahan pengasingan dan pengawasan di rumah.

Katanya, kes-kes positif yang dikenal pasti akan diberikan rawatan segera dan diisolasi.

“Ibu bapa atau penjaga hendaklah memberi kerjasama dan mematuhi arahan penutupan sekolah tersebut.

“Kerjasama ibu bapa atau penjaga hendaklah memastikan pelajar yang bergejala atau mempunyai sejarah pendedahan kepada kes positif COVID-19, tidak hadir ke sekolah sebelum pengesahan kendiri status COVID-19,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan melaksanakan arahan itu adalah punca utama berlakunya penularan di sekolah.

“Sekiranya pelajar bergejala, mereka perlu melakukan ujian COVID-19 secara kendiri atau di mana-mana fasiliti kesihatan berhampiran.

“Ibu bapa atau penjaga diminta untuk mengasingkan anak-anak di rumah selama tempoh yang dinasihatkan oleh pengamal perubatan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button