Berita UtamaDunia

Turki buat dakwaan ke-2 kes bunuh Jamal Khashoggi

Dua suspek hadapi tuduhan bawa hukuman penjara seumur hidup

ANKARA, 11 Safar 1442H, Selasa – Pendakwa Raya Turki membuat dakwaan kedua terhadap enam suspek dari Arab Saudi atas pembunuhan wartawan, Jamal Khashoggi pada 2018 di konsulat kerajaan di Istanbul, menurut agensi berita negara Turki.

Agensi berita Anadolu melaporkan, bahawa dua daripada suspek menghadapi tuduhan yang membawa hukuman penjara seumur hidup. 

Manakala, tuduhan terhadap empat yang lain membawa hukuman penjara hingga lima tahun.

Menurut dakwaan, kedua-duanya adalah anggota kakitangan konsulat dan merupakan sebahagian daripada pasukan yang meninggalkan Turki setelah melakukan pembunuhan wartawan Arab Saudi, lapor Anadolu.  

Empat suspek yang lain dilaporkan dituduh mengganggu bukti dengan pergi ke lokasi jenayah sejurus selepas pembunuhan itu. Mereka juga tidak berada di Turki.

Khashoggi, wartawan Washington Post dan pengkritik Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman (MBS), kali terakhir dilihat di konsulat Saudi di Istanbul pada 2 Oktober 2018, di mana beliau pergi untuk mendapatkan dokumen perkahwinan bersama tunangnya, Hatice Cengiz.

Mayat lelaki berusia 59 tahun itu dilaporkan dikerat dan dikeluarkan daripada bangunan dan mayatnya belum ditemui.

Dalam kes berasingan yang dilancarkan pada bulan Julai, sebuah mahkamah Istanbul mula menghakimi 20 suspek dari Arab Saudi atas pembunuhan itu, termasuk dua bekas pembantu MBS.

Pendakwa Raya Turki mendakwa, Timbalan Ketua Perisikan Arab Saudi, Ahmed al-Assiri dan Penasihat Media Mahkamah kerajaan, Saud al-Qahtani mengetuai operasi itu dan memberikan perintah kepada pasukan Arab Saudi.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengatakan perintah untuk membunuh Khashoggi datang dari ‘peringkat tertinggi’ pemerintah Arab Saudi tetapi tidak pernah secara langsung menyalahkan MBS.  

Putera Mahkota bagaimanapun membantah dakwaan yang beliau memerintahkan pembunuhan itu, tetapi mengatakan beliau akhirnya memikul ‘tanggungjawab penuh’ sebagai pemimpin de facto kerajaan.

Pada bulan September, sebuah mahkamah Arab Saudi menjatuhkan hukuman mati kepada lima orang tertuduh setelah perbicaraan tertutup di Arab Saudi tahun lalu, dan menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun kepada mereka.

“Pendakwa raya Arab Saudi melakukan satu lagi hukuman, tetapi keputusan ini tidak sah atau tiada legitimasi moral,” kata pelapor khas PBB, Agnes Callamard. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button