Berita Utama

Yayasan Maghfirah bantu keluarga asnaf di ibu kota

Pendapatan tak menentu, terkesan dengan bencana wabak COVID-19

KEPONG, 11 Safar 1442H, Selasa – Yayasan Maghfirah mengagihkan bantuan kepada 50 keluarga asnaf di flat Taman Jinjang Baru di ibu negara yang mempunyai pendapatan tidak menentu serta terkesan dengan bencana wabak COVID-19.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu mengambil inisiatif membantu meringankan beban penduduk dengan memberikan bantuan berupa makanan asas seperti beras, telur, gula, tepung, sardin, biskut, minyak masak, kicap dan bihun.

Yayasan Maghfirah juga memberikan bantuan susu dan lampin kepada keluarga yang mempunyai tanggungan anak ramai dan mereka yang memiliki anak Orang Kurang Upaya (OKU) yang memakai lampin.

   

“Seperti kita tahu, perbelanjaan untuk susu dan lampin antara barangan asas yang mahal tetapi menjadi keperluan bagi keluarga yang mempunyai anak kecil. Apatah lagi bagi keluarga yang mempunyai anak-anak dengan masalah kesihatan yang memerlukan jenis susu dan lampin khas.

“Bukan itu sahaja, kini Malaysia masih mencatatkan jangkitan COVID-19 dan situasi ini membimbangkan hati ramai pihak. Justeru, Yayasan Maghfirah turut membekalkan ‘essential kit’ yang terdiri daripada pelitup muka dan cecair pembasmi kuman kepada mereka.

“Tidak dapat digambarkan betapa gembiranya mereka menerima sumbangan ini. Jauh di sudut hati, mereka inginkan kehidupan yang selesa buat keluarga dan anak-anak. Semoga dengan bantuan ini dapat meringankan sedikit beban mereka seterusnya dapat memutuskan rantaian COVID-19 ini dengan segera,” katanya.

Pada masa sama, Yayasan Maghfirah berterima kasih kepada penyumbang yang memberi kepercayaan kepada pertubuhan itu untuk menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Besar hasrat kami untuk terus membantu dan menjaga kebajikan masyarakat agar negara kita terus aman dan sejahtera,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button