Berita Utama

PRN Sabah: Calon Cina menang jadi ADUN, kalah dilantik menteri?

Semua calon dari MCA telah tewas hingga hilang wang deposit

BANGI, 12 Safar 1442H, Rabu – Gerakan utama Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) membidas tindakan Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) yang menggesa kerajaan negeri Sabah mencalonkan beberapa wakil dari kaum Cina ke dalam Kabinet negeri.

Hal ini berikutan ketiadaan calon Cina bagi mewakili kaum itu dalam Kabinet berkenaan.

Naib Presidennya, Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, semua calon MCA telah tewas hingga hilang wang deposit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Beliau berkata, pengundi Cina di negeri itu tidak mengundi calon dari parti itu, sebaliknya lebih memilih DAP sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan mereka.

“Yang menang jadi ADUN, dan yang kalah pula boleh jadi menteri.

“Dan lebih menakjubkan apabila MCA (di Semenanjung) disedekahkan kerusi untuk bertanding di kawasan majoriti Melayu kerana bakal tersungkur mudah bila berdepan DAP,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, FCAS menggesa kerajaan negeri, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mencalonkan beberapa wakil dari kaum Cina untuk diletakkan ke dalam Kabinet negeri.

Presidennya, Tan Sri TC Goh berkata, perkara itu wajar dan perlu dilakukan supaya Kabinet negeri mempunyai perwakilan berbilang kaum, selain mencerminkan keprihatinan kerajaan ke atas masyarakat Cina.

Goh yang juga Presiden Gabungan Persatuan Cina Malaysia (Hua Zong) memberi alasan bahawa ADUN dari kaum Cina hanya mewakili kem pembangkang, manakala tiada ADUN dari kaum sama mewakili pemerintah, susulan keputusan PRN Sabah pada Sabtu lalu.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, ketiadaan wakil masyarakat Cina dalam Kabinet baharu negeri Sabah akan dibincangkan dalam kalangan pemimpin Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Beliau berkata, isu itu adalah antara pertimbangan yang akan diambil kira dalam pelantikan lima lagi jawatan menteri, selain jawatan pembantu menteri bagi melengkapkan barisan Kabinet negeri.

“Kita akan melihat perkara itu sebab kita ada lagi lima menteri yang akan mengangkat sumpah.

“Itu kita akan bincang dengan rakan dalam PN, BN dan PBS. Kita buat yang terbaik untuk mentadbir negeri Sabah ini,” katanya

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button