Berita UtamaIstimewa

Apa nak jadi, pemimpin Cina tetap dilantik jawatan penting walaupun kalah teruk

Merugikan kerana akhirnya 'mereka' dapat semula talian hayat

BANGI, 12 Safar 1442H, Rabu – Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya kesal dengan kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor yang mahu membincangkan isu tiada wakil masyarakat Cina dalam Kabinet baharu negeri.

Beliau beranggapan tindakan itu hanya bermotifkan politik yang merugikan kerana akhirnya memberikan talian hayat dan parti itu – Cina – terus relevan walaupun sudah lama mati.

Tegasnya, banyak lagi ruang atau cara yang lebih efektif bagi memastikan suara masyarakat itu untuk didengari dengan memberikan khidmat yang baik, bukannya dengan memberikan jawatan menteri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau apa-apa lain yang tidak relevan.

“Apalah nak jadi dengan pemimpin-pemimpin Bumiputera kita ini. Selepas memenangi pilihan raya di Sabah, mereka berfikir pula mengenai wakil Cina dalam Kabinet negeri kerana tiada seorang pun calon berbangsa Cina dari Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) yang menang bertanding untuk dijadikan menteri.

“Dalam PRN Sabah baru-baru ini, pengundi Cina ‘solid’ mengundi DAP yang menggunakan logo parti Warisan sehingga semua calon MCA hilang deposit. Itu pun mereka gagal walaupun ada kerusi yang ditandingi adalah majoriti tipis pengundi Bumiputera dan menggunakan logo Barisan Nasional.

“Betapa kuatnya rakyat terutama masyarakat Cina menolak mereka di sana. Ini juga termasuk calon-calon Cina lain yang mewakili parti-parti kecil yang bertanding menggunakan logo PN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Hajiji Noor berkata, ketiadaan wakil masyarakat Cina adalah antara pertimbangan yang akan diambil kira dalam pelantikan lima lagi jawatan menteri, selain jawatan pembantu menteri bagi melengkapkan barisan Kabinet negeri.

“Kita akan melihat perkara itu sebab kita ada lagi lima menteri lain yang akan mengangkat sumpah. Itu kita akan bincang dengan rakan dalam PN, BN dan PBS. Kita buat yang terbaik untuk mentadbir negeri Sabah ini,” katanya.

Dengan perkembangan yang berlaku, Haji Aminuddin berkata, ini membuktikan bahawa orang Cina akan tetap mempunyai wakil dalam Kabinet negeri walau siapa pun yang menang.

“Mereka akan meletakkan undi secara bersepadu kepada DAP dengan harapan Gerakan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan menjadi kerajaan. Pada masa sama, mereka tidak perlu risau kerana walau apapun yang berlaku, pemimpin-pemimpin Bumiputera akan sentiasa ‘terhegeh-hegeh’ memastikan pengaruh mereka sentiasa ada ‘di dalam’.

“Lihatlah, bagaimana ‘baiknya’ orang-orang Bumiputera kepada kaum minoriti. Walaupun ditolak sehingga tersungkur, mereka tetap membelai-belai dengan penuh kasih sayang.

“Trend ini sama sahaja di Semenanjung dan Persekutuan. Mereka tetap akan dilantik menjawat jawatan-jawatan penting seperti menteri, senator, pengerusi GLC, dan sebagainya walaupun kalah teruk,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button