Berita Utama

CyberSecurity Malaysia sekali lagi dipilih sebagai Pengerusi APCERT

Bertanggungjawab sedia hala tuju strategik kewujudan APCERT

BANGI, 12 Safar 1442H, Rabu – CyberSecurity Malaysia sekali lagi dipilih sebagai Pengerusi Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Asia Pasifik (APCERT) dalam pemilihan tahun ini.

CyberSecurity Malaysia dalam satu kenyataan memberitahu, pemilihan itu telah dilakukan dalam Perhimpunan Agung APCERT yang berlangsung, semalam.

Menurutnya, berbanding tahun-tahun sebelumnya, mesyuarat kali ini dilangsungkan secara dalam talian ekoran daripada pandemik COVID-19.

Katanya lagi, ia sejajar dengan visi APCERT untuk mewujudkan ruang siber yang selamat, bersih dan boleh bergantung harap dalam kalangan pengguna di wilayah Asia Pasifik.

Menurut kenyataan itu, sebagai pengerusi, CyberSecurity Malaysia menggalakkan penyertaan dalam kalangan ahli untuk bergerak ke hadapan, dalam masa sama terus memacu APCERT Malware Mitigation Working Group – kerjasama antara APCERT dan negara OIC untuk mengembangkan kajian perisian, analisis dan tindak balas melindungi komuniti daripada ancaman perisian.

“Ini satu lagi kejayaan untuk CyberSecurity Malaysia selepas kepakaran, kepimpinan dan profesionalismanya diiktiraf. Sebagai pengerusi, kami bertanggungjawab menyediakan hala tuju strategik dan panduan untuk mengekalkan kewujudan APCERT.

“CyberSecurity Malaysia akan terus mengembang dan mendorong usaha multilateral, kerangka kerja, norma baru, perkongsian maklumat dan menyokong kehendak digital sekiranya kita ingin mewujudkan ruang siber yang dipercayai dan berdaya tahan yang mana depannya berada di tangan semua orang di rantau ini,” kata Pengerusi CyberSecurity Malaysia, Tan Sri Jeneral (B) Mohd Azumi Mohamed.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button