
KUWAIT, 12 Safar 1442H, Rabu – Emir Kuwait, Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah yang menerima rawatan di sebuah hospital di Amerika Syarikat (AS) disahkan meninggal dunia semalam pada usia 91 tahun.
“Dengan dukacita dan kesedihan kami berkabung, kemangkatan Sheikh Sabah al-Ahmad al-Jaber Al-Sabah, Emir Negara Kuwait,” kata Menteri Hal Ehwal Diraja, Sheikh Ali Jarrah Al-Sabah dalam satu kenyataan menerusi televisyen.
Stesen televisyen milik kerajaan bertindak menghentikan program hariannya dan menyiarkan bacaan ayat al-Quran sebelum membuat pengumuman itu.
Sheikh Sabah sebelum ini dilaporkan berlepas ke AS pada 23 Julai lalu untuk menjalani rawatan susulan selepas pembedahan baru-baru ini.
Tiada maklumat lanjut diberikan mengenai keadaan penyakit dan rawatan Emir itu manakala pihak istana tidak menyatakan lokasi kemangkatan baginda.
Sheikh Sabah dikenali sebagai arkitek dasar luar Kuwait moden dan turut menjadi perantara ketika berlaku ketegangan di kawasan Teluk.
Buat masa ini, Putera Mahkota Kuwait Sheikh Nawaf Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah – adik tiri Sheikh Sabah – memangku sebahagian tugas Emir. – Agensi