Berita Utama

Malaysia bimbang keselamatan rantau Nagorno-Karabakh

Sokong usaha penyelesaian ikut undang-undang antarabangsa

KUALA LUMPUR, 12 Safar 1442H, Rabu – Malaysia menzahirkan rasa bimbang dengan tahap keselamatan yang semakin merosot di rantau Nagorno-Karabakh di Republik Azerbaijan susulan pertempuran sengit tentera terbaru, yang bermula sejak tiga hari lalu.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Malaysia menyuarakan rasa kesal dengan kehilangan banyak nyawa, termasuk orang awam disebabkan pertelingkahan itu.

Menurutnya, Malaysia menyertai gesaan oleh komuniti antarabangsa supaya Republik Armenia dan Republik Azerbaijan mengambil langkah maksimum dalam membendung pertelingkahan dan mengambil langkah konkrit bagi mengurangkan ketegangan antara negara berjiran itu.

“Malaysia menggesa pihak yang berkenaan untuk memberi keutamaan kepada usaha menyelesaikan konflik secara aman menerusi dialog dan diplomasi,” katanya.

Menurut kenyataan itu Malaysia menyokong semua usaha bagi mencari penyelesaian secara aman mengikut lunas undang-undang antarabangsa, termasuk resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang berkaitan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button