Pemimpin perlu tonjol sikap rendah diri, kurangkan konspirasi
Rakyat mahu kestabilan politik, kekalkan keharmonian negara

BANGI, 12 Safar 1442H, Rabu – Penularan wabak COVID-19 masih belum reda, namun habanya terasa makin panas apabila segelintir pemimpin mempamerkan sikap mementingkan diri dan kuasa berbanding menjaga sentimen rakyat.
Pemimpin perlu menonjolkan keperibadian mulia dan tutur kata baik, malah mengambil berat persoalan rakyat.
Pensyarah Kolej GENIUS Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Zamrus Mohd Ali berkata, apa yang rakyat mahukan ialah kestabilan politik berkekalan di negara ini, malah bersama-sama mengekalkan keharmonian.
Katanya, tugas kepemimpinan dan memimpin bukanlah dilaksanakan selepas diberikan jawatan atau menang pilihan raya semata-mata.
“Ia sudah sedia tergalas seperti sabda Rasulullah SAW: Ketahuilah setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan diminta bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin – hadis riwayat Muslim.
“Hadis ini menjadi mesej supaya kita melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan cara terbaik. Tonjolkan sikap merendah diri dengan memberi khidmat sedaya upaya, mengurangkan konspirasi dan menghilangkan keegoan kerana amanah kepemimpinan akan disoal Allah SWT kelak,” katanya menulis di Berita Harian, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam konteks negara ini, pemimpin terbahagi kepada dua kategori – pemimpin tertinggi negara yang merujuk kepada ketua utama negara, iaitu Yang di-Pertuan Agong dan pemimpin kerajaan – ketua yang merujuk kepada kepemimpinan eksekutif tertinggi dalam kerajaan.
“Sudah tiba masanya, seluruh rakyat memahami erti kepemimpinan sebenar sesuai pelaksanaan amanah pemimpin sangat berat.
“Dalam erti kata lain, falsafah kepemimpinan ini perlu berpaksikan konsep ibadah dan bukannya adat semata-mata.
“Dengan melihat ketaatan terhadap pemimpin, walaupun dalam situasi penularan COVID-19, kita mahu kepemimpinan menjalankan program pemimpin masa hadapan yang serius dengan pelaksanaannya di sekolah mahupun di institusi pengajian,” katanya.