Berita Utama

Pesara tentera selesaikan masalah pengawal keselamatan tak terlatih

Jamin peluang kerja, kurang bergantung kepada pekerja asing

BANGI, 12 Safar 1442H, Rabu – Cadangan Kementerian Sumber Manusia untuk mngambil pesara tentera bagi mengisi kekosongan perkhidmatan kawalan keselamatan adalah sangat baik serta dialu-alukan.

Penganalisis pertahanan, Zaki Salleh berkata, cadangan itu bagi menjenamakan semula tugas dan peranan perkhidmatan kawalan keselamatan menggunakan khidmat pesara tentera.

Katanya, ia sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing, selain mengatasi isu pengawal keselamatan tidak terlatih.

“Paling penting, pengambilan pesara tentera dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka.

“Pada peringkat usia 40-an, pesara tentera yang masih cergas merupakan sumber tenaga yang produktif. Sekurang-kurangnya mereka boleh diambil bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk tempoh tiga hingga lima tahun,” katanya menulis di Sinar Harian, hari ini.

Terdahulu, Kementerian Sumber Manusia sedang dalam perbincangan dengan Kementerian Pertahanan untuk mengambil pesara tentera bagi mengisi kekosongan perkhidmatan kawalan keselamatan di negara ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, perkhidmatan kawalan keselamatan perlu diberi penjenamaan semula dengan mengambil kira tahap kecergasan dan faktor usia seseorang petugas yang menjaga kebanyakan premis perbankan serta perniagaan.

Mengulas mengenai perkara sama, Zaki berkata, pengawal keselamatan kebiasaannya dikehendaki bertugas selama lapan jam sehari dalam 26 hari sebulan.

Beliau berkata, mereka juga diarahkan bekerja lebih masa selama empat jam setiap hari, yang bermakna tempoh bekerja adalah selama 12 jam secara berterusan.

Malah, katanya, kebanyakan syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan juga mahu pengawal keselamatan bekerja termasuk pada hari rehat dan hari cuti, namun imbuhan yang diberi tidak setimpal.

“Akibatnya, banyak syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan sukar mencari pekerja sehingga melonggarkan prosedur pengambilan. Disebabkan itu, ramai pengawal keselamatan tidak berani untuk membanteras jenayah yang sedang berlaku kerana mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Sebaliknya, beliau berkata, pesara tentera yang berkemahiran dan terlatih seperti anggota komando pasti mengetahui sebarang tindakan atau respons sekiranya berlaku sebarang jenayah.

Katanya, penjenayah yang perlu berhadapan dengan pengawal keselamatan bekas tentera terlatih pasti akan berfikir dua kali, selain gusar dengan tentangan yang bakal diterima, lantas dapat mengurangkan risiko jenayah.

“Sekiranya khidmat pesara tentera sangat-sangat diperlukan dalam industri berkenaan, maka kedua-dua kementerian yang berbincang perlulah mengemukakan bentuk tugas, skim kerja dan paling penting, kadar gaji hendaklah setimpal dengan kemahiran serta khidmat yang diberikan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button