Berita Utama

Sokong kerajaan tak terburu-buru beli vaksin COVID-19

Vaksin berkesan, selamat hanya tahu ketika selesai ujian klinikal fasa ketiga

BANGI, 12 Safar 1442H, Rabu – Langkah kerajaan Malaysia yang tidak terburu-buru membeli vaksin COVID-19 daripada mana-mana syarikat farmaseutikal sebelum ujian klinikal fasa ketiga selesai wajar disokong.

Pakar Kimia Perubatan, Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Bimo Ario Tijo menjelaskan, tindakan itu bagi memastikan vaksin berkenaan benar-benar berkesan dan selamat.

Katanya, pada masa ini, ada lapan vaksin yang memasuki ujian klinikal fasa ketiga, iaitu vaksin mRNA-1273 (Moderna); BNT162b2 (BioNTech, Pfizer, Fosun Pharma); CTII-nCoV (CanSino Biologics) dan Sputnik V (Gamaleya Research Institute).

Selain itu, AZD1222 (AstraZeneca, Universiti Oxford); CoronaVac (Sinovac Biotech) dan dua jenis inactivated vaccines (Sinopharm).

Beliau berkata, walaupun keputusan ujian klinikal fasa ketiga belum lagi diperoleh, sudah banyak negara yang membuat tempahan awal kepada syarikat pengeluar vaksin.

“Tempahan terbesar sebanyak 2.4 bilion dos dibuat untuk vaksin AZD1222 oleh negara di Eropah, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Brazil, Jepun dan negara berpendapatan rendah serta sederhana (LMICS).

“Tempahan itu juga diikuti pelaburan awal untuk mendorong syarikat farmaseutikal mempercepat proses penyelidikan, ujian klinikal dan pengeluaran vaksin.

“Tahap ujian klinikal fasa pertama hingga ketiga yang biasanya memakan masa tujuh hingga lapan tahun boleh dipendekkan kepada 12 hingga 18 bulan dengan sokongan pelaburan awal dari negara besar,” katanya menulis di Berita Harian.

Dr Bimo berkata, walaupun tempahan awal dibuat dan jumlah wang besar dilaburkan, kepastian sama ada vaksin itu berkesan dan selamat hanya boleh didapati ketika ujian klinikal fasa ketiga selesai.

“Buat masa ini, belum ada vaksin yang menyelesaikan ujian klinikal fasa ketiga.

“Ujian klinikal fasa ketiga membabitkan ribuan sukarelawan dari pelbagai negara untuk menguji keselamatan serta keberkesanan vaksin berkenaan. Ada kemungkinan sesuatu vaksin dijumpai tidak selamat dan tidak berkesan selama ujian klinikal,” katanya.

Sebagai contoh, beliau berkata, ujian klinikal fasa ketiga vaksin AZD1222 sempat dihentikan serta-merta pada 8 September lalu disebabkan seorang sukarelawan di UK didapati menunjukkan simptom keradangan saraf tunjang (transverse myelitis).

Katanya, belum diketahui sama ada sukarelawan terbabit diberi vaksin AZD1222 atau vaksin kontrol.

“Selepas siasatan dilakukan, ujian klinikal terhadap vaksin berkenaan dilanjutkan. Bagaimanapun, kerajaan AS masih belum memberi kebenaran perlanjutan ujian klinikal terbabit.

“Demikian pula satu kes jangkitan COVID-19 dilaporkan di Indonesia yang menimpa seorang sukarelawan uji klinikal fasa ketiga vaksin CoronaVac. Belum diketahui sama ada sukarelawan berkenaan diberi vaksin CoronaVac atau plasebo.

“Hasil siasatan akan diumumkan ketika ujian klinikal selesai, sekali gus untuk menilai keberkesanan vaksin berkenaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button