Berita Utama

Tak adil letak beban pada guru

Pantau pelajar selepas sesi persekolah lebih kepada tanggungjawab sosial

BANGI, 12 Safar 1442H, Rabu – Guru adalah ‘frontliner’ penting bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid diutamakan seawal pagi sebelum hadir ke sekolah sehingga tamat waktu persekolahan.

Mereka menjalankan tugas dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Sekolah yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM).

Justeru, Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) kesal apabila tular keratan sebuah akhbar tempatan mengenai pendapat seorang pembaca yang mempersoalkan keberadaan guru untuk mengawal dan memantau kepatuhan SOP pelajar selepas waktu persekolahan.

Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, meletakkan beban memantau anak selepas waktu persekolahan adalah tidak adil.

Ini kerana, tugas itu terletak di bawah tanggungjawab ibu bapa yang telah digariskan peranannya berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan KPM.

“Tindakan menyalahkan guru semata-mata bukan jawapan kepada isu yang timbul, tetapi ia perlu sokongan semua pihak termasuk masyarakat setempat dan pihak berkuasa untuk mengingatkan murid-murid patuh SOP terutama seusai kelas.

“Tiada makna guru bertungkus-lumus mendidik murid-murid agar mengikut SOP semasa proses pengajaran dan pembelajaran (PdPc), tetapi apabila sahaja pelajar keluar dari pintu sekolah mereka bebas dan melanggar SOP yang ditetapkan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Pada masa sama, Ustaz Azizee tidak menafikan ada guru yang tidak dapat menyempurnakan tugas mereka dengan baik.

Bagaimanapun katanya, untuk meletakkan beban pada guru bagi memantau pelajar selepas waktu persekolahan akan menambahkan tekanan dan bebanan kepada mereka.

“Tindakan sebahagian guru memantau pelajar adalah lebih kepada tanggungjawab sosial yang di luar waktu kerja.

“Sepatutnya ibu bapa khususnya pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) membantu pihak sekolah memantau anak-anak mereka ketika tamat waktu persekolahan.

“Sikap saling bantu membantu antara ibu bapa dan pihak sekolah akan dapat menjamin keselamatan dan kesihatan pelajar dari dijangkiti virus COVID-19,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button