Berita UtamaIstimewa

Turki desak China hormat hak Uyghur

Peraturan antiekstremisme 2017 mengandungi amalan negatif

ANKARA, 12 Safar 1442H, Rabu – Amalan dan dasar China terhadap etnik minoriti Uyghur di Xinjiang kerap menjadi perhatian Turki.

Jurucakap parti pemerintah Turki, Omer Celik berkata, peraturan antiekstremisme China yang digubal pada 2017 mengandungi amalan negatif dan tindakan sewenang-wenangnya terhadap Uyghur.

“Satu-satunya hasrat kami dalam isu ini adalah mahukan orang Uyghur hidup dalam kemakmuran dan kedamaian, selain menyumbang kepada negara China dari segi pembangunan, keamanan sosial dan kemakmuran,” katanya.

Beliau berkata, Ankara sebelum ini berulang kali mendesak Beijing untuk menghormati hak-hak etnik minoriti terutamanya Uyghur.

Pada Februari lalu, Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu menegaskan bahawa China tidak boleh melabelkan semua etnik Uyghur muslim sebagai pengganas.

Beliau berkata demikian ketika berbincang dengan rakan sejawatnya dari China di Jerman.

Pada 2019, Ankara turut mengecam dasar asimilasi sistematik terhadap Uyghur yang dilakukan oleh rejim China.

Ankara menyifatkan perbuatan biadab itu sebagai memalukan.

Sebelum ini, China didakwa merancang untuk meluaskan rangkaian pusat tahanan etnik Uyghur di wilayah Xinjiang.

Institut Dasar Strategik Australia (ASPI) melaporkan, pihaknya mengenal pasti lebih daripada 380 kem tahanan bakal dibina di wilayah itu, bagi menempatkan lebih daripada sejuta etnik Uyghur.

Selain itu, dokumen rejim China yang bocor pada akhir tahun 2019 mendedahkan secara terperinci cara pengawalan dan penyelenggaraan di kem tahanan.

Aktivis hak asasi manusia mendakwa, kebanyakan tahanan di kem itu tidak pernah melakukan sebarang jenayah, selain tidak mempunyai jalan keluar bagi mempertahankan diri masing-masing.

Tahanan di kem mereka diharamkan untuk melakukan perjalanan atau berhubung dengan mana-mana individu dari mana-mana 26 negara yang tiada hubungan baik dengan China termasuk Turki dan Afghanistan.

Selain itu, etnik Uyghur juga dilarang menghadiri sebarang aktiviti di masjid, mempunyai lebih daripada tiga orang anak dan menghantar teks yang mengandungi ayat-ayat al-Quran. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button