Berita Utama

Umrah: Kos penginapan dijangka alami perubahan?

Kerajaan Arab Saudi belum keluarkan SOP laksana umrah

BANGI, 12 Safar 1442H, Rabu – Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi masih belum mengeluarkan sebarang prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan ibadat umrah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, hal berkenaan susulan suasana pandemik COVID-19 yang masih belum pulih.

Beliau berkata, SOP yang bakal dikeluarkan kelak akan menetapkan bilangan jemaah dalam penerbangan, bilik penginapan, bas dan sebagainya.

“Kos penginapan adalah antara yang dijangka mengalami perubahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, Zulkifli berkata, agensi pengelola umrah disaran menunggu SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, sebelum kos sebenar dapat ditetapkan kepada jemaah yang berhasrat untuk menunaikan umrah.

Beliau berkata, pertambahan kos menunaikan umrah melebihi RM3,000 seperti yang diuar-uarkan oleh akhbar tempatan adalah angggaran yang dinyatakan oleh pihak tertentu, sebelum SOP dikeluarkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Katanya, kerajaan telah mendapatkan maklum balas Kedutaan Arab Saudi di Malaysia dan tiada sebarang pengumuman terbaharu daripada kementerian itu berhubung perkara berkenaan.

“Kerajaan akan sentiasa berusaha mendapatkan perkembangan semasa dan terkini daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dan bekerjasama dengan agensi pengelola umrah bagi memudahkan pelaksanaan ibadah umrah bagi umat Islam di Malaysia,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button