Berita UtamaDunia

2.1 juta penduduk Somalia mula hadapi krisis makanan

849,900 kanak-kanak bawah lima tahun kurang zat

MOGADISHU, 13 Safar 1442H, Khamis – Kira-kira 2.1 juta rakyat Somalia dijangka menghadapi krisis makanan sehingga Disember tahun ini.

Krisis berkenaan berpunca daripada banjir teruk, ditambah pula dengan serangan belalang gurun serta pandemik COVID-19 yang belum berakhir, lapor Unit Analisis Keselamatan Makanan dan Nutrisi (FSNAU).

Agensi itu memberitahu, bermula Oktober hingga Disember, krisis makanan akan memberi kesan buruk kepada isi rumah yang miskin, dengan pertanian atau ternakan yang terbatas.

“Selain itu, seramai 849,900 kanak-kanak di bawah usia lima tahun cenderung mengalami kekurangan zat dan gizi hingga Ogos 2021.

“Pengeluaran bjirin Gu pada 2020 di Somalia Selatan dianggarkan seberat 74,000 tan. Ini adalah 40 peratus lebih rendah daripada purata jangka panjang pada 1995 hingga 2019.

“Faktor utama yang menjejaskan pengeluaran bijirin Gu tahun ini termasuk banjir berulang dan teruk, hujan tidak menentu dan musim kemarau yang berpanjangan,” kata FSNAU.

Laporan itu memberi amaran seramai tiga juta lagi penduduk di Afrika Timur dijangka mengalami tekanan perasaan akibat dilanda krisis makanan.

FSNAU berkata, masyarakat antarabangsa perlu memberi bantuan kemanusiaan kepada penduduk Somalia yang terjejas sehingga Disember tahun ini, bagi mengelakkan darurat atau kesan lebih buruk. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button