Berita Utama

Apa kepentingan Dong Zong desak lantik ‘menteri Cina’ di Sabah?

Ini hasil pelobi atau memang sifat orang kita terlebih bertoleransi

BANGI, 13 Safar 1442H, Khamis – Isu pelantikan ‘Menteri Cina’ dalam Kabinet baharu Sabah dilihat amat penting, kerana bukan hanya Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) mendesak, bahkan NGO pendidikan Cina juga turut memainkan peranan.

Terdahulu, Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia Sabah (Dong Zong Sabah) mengambil langkah sama menggesa pelantikan menteri berketurunan Cina dalam Kabinet negeri – di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pengerusinya, Datuk Jimmy Yong Kyok Ming berkata, masyarakat Cina tidak akan mempunyai saluran untuk menyampaikan isu-isu yang dihadapi oleh sekolah-sekolah Cina dan masyarakat itu kepada kerajaan negeri, sekiranya Kabinet tidak mempunyai wakil daripada kaum berkenaan.

“Kami berharap Ketua Menteri dapat melantik satu hingga dua wakil Cina ke dalam Kabinet Negeri,” kata Kyok Ming, hari ini.

Menuntut bukan hanya satu wakil Cina, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya mempersoalkan, apakah kepentingan Dong Zong sehingga pertubuhan itu turut sama mendesak ‘Menteri Cina’ dalam kerajaan Sabah.

“Apakah ada kaitan dengan apa-apa ‘perancangan khas’ membabitkan UEC dan sekolah vernakular di Sabah?

“Kita tahu kerajaan Sabah yang lalu sudah mengiktiraf sijil UEC sebagai kelayakan untuk ke institusi pendidikan milik kerajaan negeri dan penjawat awam.

“Maka, apakah tugas ‘menteri Cina’ ini adalah untuk memastikan polisi itu tetap teguh diteruskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, ketiadaan wakil Cina dalam Kabinet baharu akan dibincangkan dalam kalangan pemimpin Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Katanya, isu itu adalah antara pertimbangan yang akan diambil kira dalam pelantikan lima lagi jawatan menteri, selain jawatan pembantu menteri bagi melengkapkan barisan Kabinet negeri.

Mengulas lanjut, Aminuddin turut mempersoalkan fungsi dan keperluan ‘kuota’ khas untuk ‘menteri Cina’, apatah lagi pengundi Cina secara bersepadu memilih DAP yang bertanding menggunakan logo Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Andainya ada satu atau dua calon berbangsa Cina yang ‘termenang’ dalam gabungan PN-BN-PBS dalam PRN lalu, apakah membuatkan calon itu istimewa sehingga mesti menjadi menteri?

“Yang peliknya, pemimpin-pemimpin kerajaan negeri Sabah yang baharu ini, terdiri daripada 100 peratus Bumiputera, sudah mula mempertimbangkan supaya ada menteri Cina dalam kerajaan Sabah.

“Saya tidak tahu apakah ini hasil pelobi atau memang sifat orang kita yang terlebih bertoleransi sehingga diambil kesempatan,” katanya.

Beliau berkata, tidak mustahil budaya itu akan mula menjadi ikutan untuk negeri lain seperti Terengganu dan Kelantan, pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

“… dan maka mudahlah mereka melobi macam-macam melalui ‘proksi’ mereka yang bergelar ‘menteri’ atau ‘Exco’.

“Kita sudah pun lihat bagaimana pemimpin-pemimpin parti Cina yang kalah dilantik ke pelbagai jawatan termasuk menteri, timbalan menteri, senator dan sebagainya yang telah membantutkan pelbagai perkara.

“Saya faham bahawa akan ada yang melabel saya rasis dan anti-Cina tetapi kita tidak naif apabila melibatkan Dong Zong, Hua Zong dan proksi-proksinya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button