Berita UtamaDunia

China mahu bina pangkalan tentera di Asia Tenggara?

Vietnam pasti tak berdiam diri, adakah sejarah bakal berulang?

BANGI, 13 Safar 1442H, Khamis – Pentagon mendedahkan China kini sedang mempertimbangkan untuk membina pangkalan tentera di lima negara Asia Tenggara: Kemboja, Indonesia, Myanmar, Thailand dan Singapura.

Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda, Abdul Muein Abadi berkata, laporan Pentagon itu memperincikan bahawa terdapat tiga kemungkinan model logistik ketenteraan yang sedang dipertimbangkan Beijing saat ini. 

Katanya, model pertama adalah akses kepada infrastruktur komersial di seberang laut sepertimana kehadiran tentera China di Djibouti sejak tahun 2017.

Manakala, model kedua adalah kelengkapan logistik eksklusif buat tentera laut China dengan perkongsian lokasi infrastruktur komersial. 

Sementara model ketiga pula adalah pangkalan tentera dengan penempatan tentera China.

“Mengulas Laporan Tahunan Pentagon itu, Sarjana Ian Storey dari Institut ISEAS, Yusuf Ishak melakukan penilaian ke atas kesemua negara Asia Tenggara tersebut bagi menentukan negara mana yang berkemungkinan besar menjadi lokasi pangkalan tentera China pertama di rantau ini.

“Singapura sememangnya ada menandatangani perjanjian pertahanan dengan China pada Oktober 2019 yang menyentuh mengenai komitmen logistik ketenteraan antara kedua-dua negara. 

“Bagaimanapun, Singapura ialah sekutu paling rapat Amerika Syarikat (AS) di Asia Tenggara dengan akses tentera AS di fasiliti komersial Singapura iaitu Dermaga Sembawang,” katanya dalam satu artikel yang disiarkan di Sinar Harian, hari ini.

Berbeza pula keadaannya dengan Indonesia yang tegas menolak sebarang kemungkinan pembinaan pangkalan tentera China melalui penafian Menteri Luar Negeri, Retno Marsudi.

Thailand pula, kata Abdul Muein, berada dalam proses lonjakan hubungan ketenteraan dengan China. 

“Bangkok bakal membina kelengkapan pengeluaran kereta kebal dan kenderaan lain yang dibeli dari China oleh tentera Thailand di negara mereka.

“Namun, lokasi geografi Thailand yang relatifnya jauh dari Selat Melaka dan Laut China Selatan menjadikan Thailand kurang menarik berbanding negara Asia Tenggara yang lain,” katanya.

Atas faktor itu, beliau berkata, terdapat dua buah negara lain yang dilihat menjadi sasaran yang lebih relevan sebagai lokasi pangkalan tentera China di Asia Tenggara iaitu Myanmar dan Kemboja.

Beliau berkata, Myanmar yang terletak berhampiran di Laut Andaman menawarkan kawalan dari sebelah barat Selat Melaka – gerbang pintu masuk majoriti import tenaga ke China yang boleh digugat AS melalui sekutu Indo-Pasifiknya, India.

China juga, jelasnya, melabur besar di Myanmar melalui Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) seperti Pelabuhan Kyaukphyu. 

“Namun, disebabkan sekatan perlembagaan Myanmar, Pelabuhan Kyaukphyu hanya berpotensi menjadi lokasi persinggahan sementera Tentera Laut China dan bukannya pangkalan tentera tetap.

“Kemboja sebaliknya menjadi alternatif yang signifikan buat China. Terletak di barat Laut China Selatan, Kemboja bukan sahaja menawarkan lokasi kritikal buat akses China ke atas Kepulauan Paracels yang dituntutnya di Laut China Selatan

“Bahkan, ia juga begitu hampir dengan Vietnam, negara pencabar utama China di Kepulauan Paracels,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jika dahulu Vietnam yang disokong Kesatuan Soviet berjaya menumbangkan rejim Pol Pot Kemboja yang disokong China, nampaknya hari ini sejarah bakal berulang.

“Sekiranya Kemboja benar-benar mengizinkan China membina pangkalan tentera di negara mereka. Vietnam pastinya tidak akan berdiam diri.

“Sebagai negara yang pernah menumbangkan tiga kuasa besar iaitu Perancis sewaktu Perang Indo China, AS sewaktu Perang Vietnam, dan China sewaktu era Deng Xiaoping, Vietnam hari ini jauh lebih maju. Bagaimana pula dengan kita?,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button