Berita Utama

Datuk Bandar KL, Presiden PPj baharu dilantik

Pelantikan bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa hari ini

PUTRAJAYA, 13 Safar 1442H, Khamis – Bekas Pengarah Eksekutif (Perancangan) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mahadi Che Ngah dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa hari ini.

Setiausaha Bahagian (Bahagian Sosio Ekonomi) Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain pula dilantik sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) juga bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa ketika mengumumkan pelantikan berkenaan berkata, Mahadi menggantikan Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, manakala Muhammad Azmi menggantikan Datuk Dr Aminuddin Hassim yang masing-masing menamatkan tempoh perkhidmatan mereka semalam.

Annuar berkata, pelantikan Mahadi sebagai Datuk Bandar KL ke-13 telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengikut Bahagian II, Seksyen 4(2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

“Tempoh perkhidmatan beliau selama 36 tahun di DBKL memberi kelebihan dalam aspek pengetahuan, kemahiran selain pengalaman yang mendalam berkaitan pengurusan bandar raya serta dasar-dasar perancangan bandar raya Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Annuar berkata, majlis penyampaian watikah pelantikan kepada Mahadi akan diadakan esok di DBKL.

Mengenai Muhammad Azmi pula, Annuar berkata pelantikannya sebagai Presiden PPj telah mendapat persetujuan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Oleh kerana beliau seorang pegawai tinggi di kementerian ini, proses pelantikan sedang diuruskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan JPA,” katanya.

Annuar turut merakamkan penghargaan kepada Nor Hisham dan Aminuddin atas khidmat bakti mereka ketika menerajui DBKL dan PPj. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button