Berita Utama

Dong Zong pula gesa lantik menteri Cina dalam Kabinet Sabah

Dakwa orang Cina tiada saluran sampaikan isu kepada kerajaan negeri

BANGI, 13 Safar 1442H, Khamis – Selepas Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS), Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia Sabah (Dong Zong Sabah) pula mengambil langkah sama menggesa pelantikan menteri berketurunan Cina dalam Kabinet negeri yang baharu dibentuk.

Pengerusinya, Datuk Jimmy Yong Kyok Ming berkata, masyarakat Cina tidak akan mempunyai saluran untuk menyampaikan isu-isu yang dihadapi oleh sekolah-sekolah Cina dan masyarakat itu kepada kerajaan negeri sekiranya Kabinet negeri tidak mempunyai wakil dari kaum berkenaan.

Walaupun calon yang ditandingi parti Cina dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kalah pada Pilihan Raya Negeri Sabah lalu, Yong menegaskan Ketua Menteri mempunyai hak untuk melantik enam ADUN yang dicalonkan.

“Kami berharap Ketua Menteri dapat melantik satu hingga dua wakil Cina ke dalam Kabinet Negeri,” katanya seperti dilapor Borneo Post hari ini.

Terdahulu, Presiden FCAS, Tan Sri TC Goh berkata, pelantikan beberapa wakil dari kaum Cina wajar dan perlu dilakukan supaya Kabinet negeri mempunyai perwakilan berbilang kaum, selain mencerminkan keprihatinan kerajaan ke atas masyarakat Cina.

Beliau yang juga Presiden Hua Zong memberi alasan bahawa ADUN dari kaum Cina hanya mewakili kem pembangkang, manakala tiada ADUN dari kaum sama mewakili pemerintah, susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada Sabtu lalu.

Dalam perkembangan sama, Yong berharap agar kerajaan negeri yang baharu bersikap adil terhadap rakyat Sabah, tanpa mengira bangsa dan kepercayaan, dalam arena budaya, pendidikan dan ekonomi.

“Sekiranya tidak ada perwakilan Cina di Kabinet negeri, kami berharap agar kerajaan negeri melayan semua kaum dengan adil,” katanya.

Selasa lalu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah baharu.

Turut mengangkat sumpah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah yang juga ADUN Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Timbalan Ketua Menteri.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang juga ADUN Tambunan, Datuk Dr Jeffry Kitingan, menyandang jawatan Timbalan Ketua Menteri II.

Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) yang juga ADUN Kundasang, Datuk Dr Joachim Gunsalam pula sebagai Timbalan Ketua Menteri III.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button