Dunia

50,000 bekalan vaksin COVID-19 ke Gaza rosak angkara Israel

Halang penghantaran di 2 persimpangan tentera di Ramallah dan Gaza

RAMALLAH, 8 Safar 1443H, Rabu – Kementerian Kesihatan Palestin menyelar tindakan penjajah Israel di dua persimpangan tentera di Tebing Barat dan Gaza yang telah menyebabkan kerosakan bekalan vaksin COVID-19 ke wilayah dikepung dari Ramallah. 

Menteri Kesihatan, Mai Alkaila berkata, pihak berkuasa Israel menghalang penghantaran bekalan 50,000 dos vaksin Sputnik Light dari Ramallah ke Gaza dan memunggah vaksin dari trak selama satu jam di pusat pemeriksaan sempadan Beitunia di Ramallah. 

Rejim itu juga turut melakukan tindakan sama selama dua jam di pusat komersial sempadan dengan Gaza di lintasan Kerem Shalom, sehingga mengakibatkan kerosakan kepada bekalan vaksin yang memerlukan suhu dan penjagaan tertentu. 

Alkaila berkata, trak itu tiba di pusat pemeriksaan Beitunia pada Rabu lalu, ketika dalam perjalanan untuk menghantar vaksin ke persimpangan Kerem Shalom.

“Tentera Israel di pusat pemeriksaan Beitunia mengarahkan untuk memunggah vaksin dan menyimpannya di luar trak selama satu jam tanpa mengambil kira bahawa vaksin perlu disimpan pada suhu -30 darjah Celcius, sedangkan trak mengandungi suhu yang sesuai untuk memelihara vaksin,” katanya.

Katanya, setelah trak sampai di persimpangan Kerem Shalom, tentera Israel sekali lagi mengarahkan bekalan dipunggah keluar dari trak selama dua jam, yang menyebabkan bekalan terjejas dengan keadaan suhu. 

Alkaila berkata, vaksin bernilai AS$675,000 itu rosak akibat tindakan berkenaan, meskipun tarikh luputnya adalah pada akhir November ini.

“Kita telah meminta pelbagai organisasi hak asasi manusia untuk segera campur tangan bagi mencegah pihak berkuasa penjajah merosakkan vaksin yang dihantar kepada rakyat Palestin di Semenanjung Gaza. 

“Kami juga telah memulakan langkah segera dengan Pihak Berkuasa Dalam Negeri dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk menghantar satu lagi bekalan vaksin kepada penduduk di Gaza,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button