Berita Utama

Guna sukatan pelajaran asing, adakah sistem pendidikan negara gagal?

Mana kemuliaan lafaz sumpah jawatan jika dilanggar semuanya

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 13 Safar 1442H, Khamis – Kementerian Pendidikan (KPM) serta pakar bahasa wajib berusaha meningkatkan mutu bahasa Inggeris pelajar tanpa mengorbankan dasar bahasa kebangsaan dan mana-mana mata pelajaran termasuk Sains dan Matematik.

Demikian tegas Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) sebagai menyelar rancangan Sarawak untuk membina lima sekolah antarabangsa yang dikatakan tindakan strategik bagi memacu nilai pendidikan bertaraf antarabangsa.

Terdahulu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dilaporkan berkata, agenda pendidikan sedemikian diatur demi masa depan anak Sarawak di mana pelaksanaannya akan menguna pakai silibus yang diiktiraf di peringkat global.

Katanya, sekolah-sekolah antarabangsa yang ditubuhkan ini akan menggunakan sukatan mata pelajaran antarabangsa seperti yang digunakan oleh Cambridge University, England.

Beliau berkata demikian menjawab kepada dakwaan Felo Utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong yang menyatakan langkah membenarkan sekolah antarabangsa milik kerajaan negeri adalah bercanggah dengan Akta Pendidikan Malaysia.

Kamal Shukri Abdullah Sani.

Merujuk kepada projek pembinaan lima sekolah menengah antarabangsa seliaan Yayasan Sarawak itu, Kok Seong berkata, pendidikan berada di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan mengkehendaki Bahasa Melayu digunakan sebagai Bahasa pengantar.

Mengulas perkara itu, Timbalan Presiden PLM, Kamal Shukri Abdullah Sani berkata, sehingga kini belum ada lagi sekolah seperti itu ditaja kerajaan mana-mana negeri.

Bahkan katanya, ada klausa jika undang-undang negeri bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, maka yang di negeri itu terbatal dengan sendirinya.

“Dalam sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri ada perenggan yang antara lain bersumpah untuk menjunjung dan mematuhi Perlembagaan Negeri dan Perlembagaan Persekutuan.

“Dingatkan bahawa dalam Perlembagaan Persekutuan ada Perkara 152 yang mewajibkan bahasa Melayu bagi penggunaan rasmi dan aktiviti pendidikan adalah rasmi.

“Di manakah kemuliaan dan kesucian lafaz sumpah jawatan itu jika dilanggar semuanya? Manakah penghormatan sebagai sebuah negeri dalam Persekutuan walaupun ada autonomi tertentu tetapi pastinya tidak termasuk urusan mengenai pendidikan yang di bawah urusan dan kawal selia oleh Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, beliau kesal dengan kenyataan ‘biul’ pemimpin yang berusaha menggunakan kurikulum dan sukatan pelajaran asing untuk mempertingkat mutu pendidikan khususnya bahasa Inggeris.

Kamal mempersoalkan sama ada itu petanda bahawa sistem pendidikan negara gagal dan perlu diganti dengan sistem antarabangsa yang kononnya terbaik.

Beliau menegaskan sepatutnya apa-apa sahaja sistem dari luar tidak diambil 100 peratus tetapi diubah suai.

Katanya, akibat meniru dan tanpa mengkaji, kementerian sendiri pernah menggunakan buku teks yang sesuai untuk negara Sepanyol yang berbeza dari segi budaya dan contohnya tanpa ubah suai.

“Di sinilah perlunya kita berfikir secara global tetapi untuk bertindak perlu secara lokal, melihat suasana tempatan.

“Pemimpin kita merangkumi semua yang dari luar itu bagus seolah-olah negara sudah bankrap idea, pemikiran dan falsafah. Di manakah Falsafah Pendidikan Kebangsaan kita letak atau buang?,” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button