Berita Utama

Lantik wakil Cina: Besar sangatkah dana pilihan raya diberi kepada GRS?

Isu pembangunan Sabah takkan selesai selagi politik berasaskan kapital kukuh

BANGI, 13 Safar 1442H, Khamis – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini jelas menunjukkan parti berasaskan kaum, MCA bukan pilihan majoriti etnik Cina di negeri itu.

Namun, menjadi persoalan, meskipun kalah dalam semua kerusi yang dipertandingkan, mereka masih ‘dipelawa’ dalam kerajaan baharu Sabah. 

Terdahulu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, ketiadaan wakil Cina dalam Kabinet baharu akan dibincangkan dalam kalangan pemimpin PN, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Katanya, isu itu adalah antara pertimbangan yang akan diambil kira dalam pelantikan lima lagi jawatan menteri, selain jawatan pembantu menteri bagi melengkapkan barisan Kabinet negeri.

Pemerhati politik bebas, Dr Razali Ramli mempersoal, penting sangatkah MCA dan banyak sangatkah dana pilihan raya yang diberikan kepada Perikatan Nasional-GRS sehingga mahu membincangkan posisi wakil Cina dalam Kabinet negeri. 

“Jika melihat kepada statistik ekonomi di negeri Sabah memang benar, penguasaan ekonomi berada di tangan etnik Cina yang menguasai ekonomi setempat meneruskan legasi penjajahan syarikat Borneo Utara suatu ketika dahulu.

“Penguasaan ekonomi ini menzahirkan kekuatan dalam sistem demokrasi kapital yang sangat ditentukan oleh jumlah pegangan modal,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Justeru, beliau tidak menafikan bahawa kekuatan ‘modal’ yang ada pada kelompok berkenaan, meskipun kalah masih ‘dipelawa’ masuk dalam kerajaan.

“Mungkin bukan MCA pun. Tetapi entiti perniagaan atau disebut sebagai ‘kongsi’ yang sudah lama bertapak dan menguasai ekonomi setempat.

“Saya kira mereka akan melantik wakil Cina sebagai tempat di mana modal ‘asing’ masuk. Asing dalam erti kata bukan dalam sistem kitaran ekonomi normal yang ada,” katanya.

Disebabkan itu, Dr Razali menyifatkan masalah pembangunan di Sabah tidak akan pernah selesai jika sistem politik demokrasi berasaskan kapital masih bertapak kukuh.

“Kerajaan negeri yang dilantik boleh dikatakan sebagai pak turut dalam melaksanakan agenda sebenar kumpulan ini.

“Tengok sahajalah setelah 57 tahun, Sabah masih lagi tidak dapat membangun dalam potensi sebenarnya.

“Bukan kerana miskin hasil, namun hasil-hasilnya sudah digondol oleh kongsi-kongsi Cina ini. Bertaubatlah wahai parti bangsaku,” katanya.

Sebelum ini, Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) menggesa kerajaan negeri, mencalonkan beberapa wakil dari kaum Cina untuk diletakkan ke dalam Kabinet negeri.

Bukan hanya FCAS, malah Persekutuan Persatuan-Persatuan Pengurus Sekolah Cina Malaysia Sabah (Dong Zong Sabah) juga menyuarakan gesaan sama supaya melantik menteri berketurunan Cina dalam Kabinet GRS.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button