Berita Utama

Bomba guna pengeboman air padam kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung

Guna helikopter dengan babitkan 8 pegawai serta anggota bomba

NIBONG TEBAL, 16 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan kaedah pengeboman air bagi memadam kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang Phee Boon Poh berkata, pemadaman bermula pada 10 pagi itu dilakukan menggunakan dua helikopter milik JBPM dari Subang, Selangor dengan membabitkan lapan pegawai serta anggota bomba.

“Ia (bom air) dilepaskan di lokasi titik panas berdasarkan termal imej dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS). Operasi tamat kira-kira sejam kemudian dan kami berharap operasi ini dapat mengurangkan kemerebakan api di kawasan berkenaan,” katanya.

Phee berkata, setiap bom air boleh menampung hingga 1,600 liter air dan difahamkan dua helikopter itu melakukan beberapa siri pengeboman air di kawasan berkenaan.

Bagi melancarkan operasi pemadaman, semua agensi dan penduduk tidak dibenarkan melakukan sebarang penerbangan dron semasa unit udara bomba sedang melakukan penerbangan dan kerja-kerja pemadaman.

Dalam pada itu, Phee berkata, 44 orang daripada 10 keluarga yang tinggal berhampiran tapak pelupusan itu telah dipindahkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di sini sejak Ahad lepas.

Beliau berkata, lapan orang termasuk seorang warga emas dan seorang bayi ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bakap Indah manakala 36 orang termasuk tiga warga emas ditempatkan di PPS SK Saujana Indah.

Tinjauan Bernama mendapati 10 sekolah yang terletak berhampiran tapak pelupusan itu ditutup tiga hari bermula hari ini berikutan indeks udara menunjukkan kepekatan yang boleh memberi kesan kepada kesihatan dan mengancam nyawa.

Kebakaran membabitkan kawasan seluas 6.5 hektar daripada keseluruhan 16.2 hektar tapak pelupusan sampah itu dilapor berlaku sejak kira-kira 5 petang, Rabu lepas. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button