Berita Utama

287 kes COVID-19 hari ini, tertinggi sejak penularan di Malaysia

'Trend peningkatan ini KKM khuatiri, peringatkan hampir setiap hari'

PUTRAJAYA, 14 Safar 1442H, Jumaat – Sebanyak 287 kes baharu COVID-19 dicatatkan dalam tempoh 24 jam lepas, jumlah kes harian tertinggi pernah direkodkan sejak permulaan pandemik itu di Malaysia, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kesemua kes itu adalah penularan tempatan dan perkembangan terbaharu tersebut menjadikan kes terkumpul kini berjumlah 11,771 kes dengan kes aktif sebanyak 1,540 kes.

“Trend peningkatan inilah yang Kementerian Kesihatan (KKM) khuatiri dan diperingatkan hampir setiap hari kepada semua pihak, kerana perkara itu sememangnya selari dengan trend peningkatan jumlah kes dan kematian COVID-19 yang dilihat di seluruh dunia.

“Kes COVID-19 di dunia pada masa kini mencecah sekitar 34.2 juta kes dan jumlah kes harian menunjukkan kenaikan iaitu sekitar 309,000 kes berbanding sebelumnya kira-kira 302,000 kes,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 hari ini.

Beliau berkata tiada kematian baharu akibat COVID-19 dilaporkan dan jumlah kumulatif kes kematian kekal 136 kes. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button