Uncategorized

Arab Saudi sedia terima jemaah umrah pertama Ahad ini

Lebih 20,000 meter sejadah disteril, 769 staf ditempatkan di masjid

RIYADH, 14 Safar 1442H, Jumaat – Semua persediaan di masjid dan pelbagai kemudahan di Miqat telah dilaksanakan oleh kerajaan Arab Saudi, susulan kebenaran ibadat umrah secara berperingkat bermula Ahad ini.

Menteri Hal Ehwal, Panggilan dan Bimbingan Islam, Sheikh Abdullatif Al-Sheikh berkata, persediaan itu dibuat sejajar dengan protokol kesihatan yang ditetapkan pihak berkuasa.

Beliau berkata, persiapan itu juga dilaksanakan semenjak arahan membenarkan semula ibadat umrah dikeluarkan.

Katanya, kementerian telah melaksanakan pelbagai persiapan bagi membolehkan jemaah menunaikan ibadat dengan mudah, selesa dan selamat, seiring kualiti standard tertinggi.

“Selain melantik syarikat Saudi yang mempunyai kepakaran dalam melaksanakan kerja pembersihan, kementerian menggerakkan semua sumber untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada jemaah.

“Beberapa orang pendakwah juga ditugaskan untuk memberikan kesedaran, selain pasukan pemantau bagi meneliti aspek penyelenggaraan dan operasi berkaitan jemaah umrah.

“Kita juga menilai semua aspek persediaan kemudahan bagi menerima jemaah umrah, secara ujian maya semalam,” katanya.

Sheikh Abdullatif berkata, lebih 20,000 meter persegi karpet dan sejadah yang ditempatkan di masjid serta Miqat telah disteril.

Malah, katanya, proses itu akan terus dijalankan syarikat kontraktor berkaitan dari semasa ke semasa.

Selain itu, katanya, seramai 769 pegawai dan pekerja telah ditugaskan untuk berada di masjid bagi menjawab sebarang pertanyaan dalam kalangan jemaah umrah kelak.

“Selain perihal agama, pegawai dan petugas ini akan memberi penerangan mengenai langkah berjaga-jaga dan protokol pencegahan yang dilaksanakan bagi mengekang penularan COVID-19.

“Pelekat untuk memastikan penjarakan fizikal dua meter sudah ditampal dan kita menyediakan al-Quran digital berbanding naskah biasa, selain meletakkan kamera suhu badan di setiap pintu masuk,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button