Berita Utama

COVID-19: 2 lagi kluster baharu dikesan di Selangor

Dinamakan sebagai Kluster Seri Setia, Kluster Seri Anggerik

PUTRAJAYA, 14 Safar 1442H, Jumaat – Dua lagi kluster baharu dikesan di Selangor dengan kes indeks bagi kedua-dua kluster ini terdiri daripada lelaki warga tempatan yang mempunyai sejarah perjalanan ke negeri berisiko tinggi iaitu Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster baharu yang dikenal pasti itu dinamakan sebagai Kluster Seri Setia dan Kluster Seri Anggerik.

“Kluster baharu (Kluster Seri Setia) dikenal pasti di Seri Setia, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kes indeks kluster ini (kes ke-10,927) adalah seorang lelaki warga Malaysia berumur 36 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Semporna, Sabah dari 16 hingga 20 Sept.

“Beliau bergejala sejak 21 Sept dan saringan COVID-19 dikesan positif pada 27 Sept. Kes kemudiannya telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan tiga lagi kes positif bagi kluster ini dikenal pasti,” katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata semua kes positif kluster itu melibatkan warga tempatan dan mereka turut dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

Sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 23 individu disaring bagi kluster itu dan keputusan saringan mendapati empat daripadanya positif, manakala 14 individu dikesan negatif serta lima individu masih menunggu keputusan.

Sementara itu, bagi Kluster Seri Anggerik yang dikenal pasti di Hulu Selangor, Selangor, kes indeks kluster (kes ke-10,776) merupakan seorang lelaki tempatan berumur 37 tahun dan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah dari 9 hingga 18 Sept.

“Beliau mula bergejala sejak 25 Sept dan telah disaring. Setelah dikesan positif pada 26 Sept, beliau dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan 14 lagi kes positif COVID-19 bagi Kluster Seri Anggerik dikenal pasti. Semua kes positif melibatkan warganegara Malaysia.

“Mereka juga telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan. Sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 67 individu telah disaring (bagi Kluster Seri Anggerik),” katanya lagi, keputusan saringan mendapati 14 dikesan positif manakala 15 individu dikesan negatif serta 38 individu masih menunggu keputusan.

Punca jangkitan bagi kedua-dua kluster ini masih dalam siasatan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button