Berita Utama

COVID-19: Malaysia di ambang gelombang ke-2! Kawal segera

I-Medik gesa kerajaan pertimbang laksana PKP di kawasan bersasar

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 14 Safar 1442H, Jumaat – Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) menggesa kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mempertimbangkan untuk menguatkuasakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden I-Medik, Prof Dr Azmi Md Nor berkata, sekali pun tidak dapat dilakukan secara menyeluruh, sekurang-kurangnya ia dikuatkuasakan di negeri dan daerah bersasar atau zon merah.

Beliau berkata, langkah itu perlu bagi mengekang penularan wabak serta kluster baharu COVID-19 di negara ini.

“Sama ada ia akan (PKP) berlaku lagi, itu terserah pada keputusan Perdana Menteri dan MKN sendiri, kerana kluster serta kes baharu bukan membabitkan semua negeri di Malaysia.

“Jika pun mahu dikuatkuasakan kembali, saya rasa ia hanya perlu di kawasan bersasar sahaja, seperti Selangor dan Pulau Pinang di beberapa kawasan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Semalam, Malaysia merekodkan 260 kes baharu COVID-19, yang dilaporkan kes harian kedua tertinggi pernah dicatatkan di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 260 kes itu, hanya satu kes import dari United Kingdom membabitkan pengembara bukan warganegara dilaporkan di Kuala Lumpur.

Katanya, daripada 259 kes penularan dalam negara, 118 kes dilaporkan di Sabah, Kedah (98 kes), Kuala Lumpur (13 kes), Selangor (13 kes), Johor (lima kes), Putrajaya (lima kes), Terengganu (dua kes), Perlis (dua kes), Melaka, Pahang dan Pulau Pinang masing-masing dengan satu kes.

Mengulas peningkatan jumlah kes baharu itu, Prof Azmi tidak menolak kemungkinan Malaysia kini berada di ambang gelombang kedua, jika kerajaan gagal mengawal dan rakyat enggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Saya juga kesal dengan sikap pemimpin politik yang tidak mengambil kira impak wabak ini sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diadakan dalam waktu ini.

“Pakar kesihatan sudah memberi amaran, tetapi malangnya ‘politiking’ ini tidak mahu mendengar nasihat, dan akhirnya lihatlah apa yang berlaku sekarang,” katanya.

Ditanya mengenai kegusaran rakyat jika PKP dikuatkuasakan semula, Prof Azmi berkata, mahu atau tidak semua pihak, termasuk kerajaan, bank dan rakyat perlu bersedia menghadapinya.

“Jika terpaksa dilaksanakan sekali lagi, sekurang-kurangnya kita sudah ada pengalaman daripada PKP kali pertama sebelum ini.

“Impak daripada PKP ini juga perlulah ditangani dengan sebaiknya tidak kira dari segi pekerjaan atau ekonomi.

“Keadaan sekarang bukan hanya didepani oleh Malaysia sahaja, bahkan turut dihadapi seluruh dunia,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button